KUDAT: Tindakan pantas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kudat berjaya menggagalkan cubaan tujuh Vesel Nelayan Asing (VNA) warga Filipina yang menceroboh perairan negara di sekitar Tanjung Kalutan, Pulau Balambangan, hari ini.
Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Hasbullah Omar berkata, pencerobohan itu dikesan melalui Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Sabah sebelum dua buah bot ronda Maritim Malaysia digerakkan ke lokasi yang dikenal pasti.
“Kesemua vesel berjaya ditahan dan pemeriksaan mendapati seramai 21 individu termasuk tekong berusia antara 17 hingga 60 tahun berada di atas vesel-vesel terbabit,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, kesemua vesel bersama kru telah diiring ke Pusat Tahanan Vesel, Sabah Port Kudat bagi siasatan lanjut, dengan jumlah rampasan dianggarkan bernilai RM100,000.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana memasuki perairan Malaysia tanpa kebenaran, selain Akta Imigresen 1959/63 selepas kesemua individu gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.
Dalam pada itu, beliau menegaskan Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk pencerobohan perairan negara dan akan terus mempertingkatkan rondaan serta penguatkuasaan, khususnya di perairan berisiko tinggi.
Orang ramai turut diminta menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti mencurigakan di perairan negara kepada Pusat Operasi Zon Maritim Kudat melalui saluran yang disediakan.
