PITAS: Dua buah rumah jenis tidak kekal musnah sepenuhnya dalam satu kejadian kebakaran di Kampung Delima Darat, Pitas, awal petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pitas, Noor Jali bin Maslah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 1.39 petang melalui sistem NGMERS999 sebelum menggerakkan sebuah jentera bersama tujuh anggota ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 49 kilometer dari balai.
“Setibanya pasukan bomba di lokasi pada jam 2.37 petang, kebakaran didapati melibatkan dua buah rumah jenis tidak kekal yang masing-masing berkeluasan 25 x 40 kaki persegi dan 30 x 40 kaki persegi, dengan kedua-duanya terbakar 100 peratus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, sebuah kenderaan jenis Proton turut terbakar sepenuhnya dalam kejadian berkenaan.
Katanya, pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman menggunakan dua aliran dan dua pancutan dengan sumber air sepanjang 200 kaki dari jentera bomba.
“Kebakaran berjaya dikawal pada jam 2.45 petang dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.03 petang. Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan,” jelasnya.
Operasi pemadaman turut dibantu oleh agensi lain iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM) melibatkan tiga anggota serta Sabah Electricity Sdn Bhd dengan dua kakitangan bagi memastikan keadaan selamat di lokasi kejadian.
Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
