KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah mengambil maklum isu berkaitan pemilikan dan operasi premis penginapan di Semporna yang didakwa sebahagian besarnya dikendalikan oleh syarikat luar, dan menegaskan perkara itu perlu dinilai secara menyeluruh berasaskan fakta serta kepentingan ekonomi jangka panjang negeri.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, Sabah sememangnya mengalu-alukan pelaburan asing khususnya dalam sektor pelancongan kerana ia mampu membawa rangkaian global serta akses pasaran yang lebih luas.
“Namun begitu, pelaburan tersebut mesti memberi manfaat jelas kepada Sabah, termasuk memperkukuh penyertaan pemain tempatan, mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat Sabah serta memastikan limpahan ekonomi yang bermakna kepada komuniti setempat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Datuk Jafry berkata kementeriannya telah menubuhkan Pasukan Petugas Khas Pemantauan Industri Pelancongan Semporna yang melibatkan pelbagai agensi kerajaan negeri berkaitan, pihak berkuasa tempatan, pemain industri serta wakil komuniti.
Menurutnya, objektif utama pasukan petugas itu adalah untuk menangani isu pelancongan di Semporna secara menyeluruh dan sistemik, bukan secara reaktif, dengan menyelaraskan peranan, bidang kuasa serta aspek penguatkuasaan antara agensi terlibat.
“Isu berkaitan aktiviti dan operasi perniagaan tidak sah sebahagian besarnya berada di bawah bidang kuasa Kementerian Kerajaan Tempatan.
Kerajaan Negeri melalui pasukan petugas ini akan menyelaras kerjasama rapat dengan kementerian tersebut serta pihak berkuasa berkaitan bagi memastikan tadbir urus yang jelas dan penguatkuasaan yang berkesan,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa pembangunan pelancongan di Semporna perlu dilaksanakan secara teratur dan mampan, selari dengan kepentingan rakyat tempatan.
“Pendekatan kami adalah berasaskan bukti dan berfokus kepada penyelesaian. Pelancongan tidak boleh berkembang sebagai ekonomi terasing di mana keuntungan mengalir keluar, tetapi manfaat kepada rakyat tempatan kekal minimum,” jelasnya.
Datuk Jafry turut menegaskan komitmen Kerajaan Negeri untuk terus bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi memastikan tadbir urus yang jelas, penguatkuasaan terselaras serta pembangunan pelancongan yang mampan demi menjadikan Semporna kekal berdaya saing di peringkat global, sambil memastikan rakyat Sabah menjadi penerima manfaat utama di negeri sendiri.
