PENAMPANG: Polis Daerah Penampang berjaya menahan lima lelaki dan merampas pelbagai barangan dipercayai berkaitan kes pecah rumah dalam satu operasi khas yang dijalankan di daerah ini.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy bin Newton berkata, tangkapan itu dibuat susulan kejadian pecah rumah di sebuah rumah tidak berpenghuni yang sedang menjalani kerja-kerja pengubahsuaian di sekitar Penampang, dengan anggaran kerugian dianggarkan kira-kira RM10,000.
Menurut beliau, hasil risikan dan maklumat awam, Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Penampang telah melancarkan serbuan ke atas sebuah rumah di daerah Putatan sebelum berjaya menahan lima lelaki tempatan berusia antara 26 hingga 31 tahun.
“Pihak polis turut merampas pelbagai barangan yang disyaki terlibat dengan kes berkenaan serta dipercayai merupakan hasil kegiatan curi,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Tambahnya lagi, semakan rekod mendapati salah seorang suspek mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan kesalahan pecah rumah dan dadah.
Selain itu, hasil saringan awal air kencing mendapati dua daripada lima suspek didapati positif dadah.
Kesemua suspek kini ditahan di lokap IPD Penampang bagi membantu siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun serta denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.
Dalam pada itu, Polis Daerah Penampang menegaskan komitmen berterusan dalam membanteras jenayah harta benda dan menasihatkan orang awam agar sentiasa memastikan keselamatan premis masing-masing, khususnya rumah atau bangunan yang tidak berpenghuni.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan aktiviti jenayah diminta untuk menyalurkannya kepada pihak polis bagi membantu siasatan.
