TAWAU: Keharmonian dan semangat perpaduan masyarakat berbilang kaum di Sabah terus dizahirkan menerusi sambutan Tahun Baharu Cina 2026 apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, YB Datuk Haji Nizam Abu Titingan, menyantuni komuniti setempat melalui penyampaian sumbangan limau kepada wakil KMC, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta pengamal media di kawasan DUN Apas.
Majlis yang berlangsung di Bilik Mesyuarat PGRS Bahagian Apas itu mencerminkan keunikan Sabah sebagai negeri yang sentiasa menitikberatkan nilai toleransi, saling menghormati dan kebersamaan tanpa mengira kaum serta latar belakang agama.
Nizam berkata, sambutan perayaan pelbagai kaum di Sabah bukan sekadar acara tahunan, sebaliknya menjadi medium penting untuk memperkukuh hubungan antara pemimpin dan rakyat serta menyemai semangat muhibah dalam kalangan masyarakat.
“Tradisi saling berkongsi kegembiraan sempena perayaan seperti Tahun Baharu Cina ini membuktikan bahawa keharmonian kaum di Sabah adalah kekuatan utama yang perlu terus dipelihara,” katanya.
Beliau turut berharap sumbangan yang disampaikan dapat membawa makna simbolik sebagai tanda keprihatinan dan kebersamaan, di samping mengukuhkan lagi hubungan silaturahim antara kepimpinan dan masyarakat akar umbi.
Majlis berkenaan sekali gus mencerminkan komitmen berterusan kepimpinan negeri dalam memelihara perpaduan rakyat, selari dengan aspirasi Sabah sebagai negeri yang aman, harmoni dan makmur.
Sambutan Tahun Baharu Cina 2026 diharap membawa kebahagiaan, kesejahteraan serta kemakmuran kepada seluruh rakyat Sabah dalam semangat perpaduan yang terus utuh.
