SOOK: Dua lelaki dilaporkan cedera selepas sebuah kenderaan jenis Toyota Single Cab terbabas sendiri dan melanggar besi pembahagi jalan dalam satu kemalangan jalan raya di Jalan Sook–Nabawan Batu 27, pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sook, Faisal Bin Ahmad berkata, pihaknya menerimaR panggilan berhubung kejadian itu pada jam 7.05 pagi menerusi talian balai sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi kejadian.
“Seramai enam anggota bersama sebuah jentera LFRT tiba di lokasi kira-kira jam 7.09 pagi. Setibanya di tempat kejadian, didapati sebuah Toyota Single Cab telah terbabas dan melanggar besi pembahagi jalan,” katanya ketika dihubungi.
Menurut beliau, berdasarkan maklumat saksi di lokasi, dua mangsa lelaki telah terlibat dalam kemalangan tersebut dan telah dihantar ke hospital oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba.
Katanya lagi, pasukan bomba kemudian menjalankan pemeriksaan menyeluruh di kawasan kemalangan bagi memastikan tiada bahaya lain yang boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya.
“Pasukan turut membantu mengeluarkan kenderaan yang tersangkut pada besi penghadang jalan dengan menggunakan peralatan Hydraulic Rescue Tools bagi memastikan laluan kembali selamat,” jelasnya.
Operasi diketuai oleh PBK I Maimin Bin Yabin dan tamat sepenuhnya pada jam 7.26 pagi. Turut berada di lokasi ialah dua anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membantu kawalan dan siasatan lanjut.
Keadaan kedua-dua mangsa dilaporkan cedera, namun tahap kecederaan tidak dapat dipastikan setakat ini.
