TAWAU: Masalah kesesakan lalu lintas yang semakin serius di bandar Tawau bakal ditangani menerusi tiga cadangan utama termasuk pembinaan laluan pintasan (bypass), jejambat dan lebuh raya pantai (highway).
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata perkara itu sudah dibangkitkan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, susulan aduan rakyat yang berlarutan sejak sekian lama.
Menurutnya, cadangan pertama ialah pembinaan Tawau Bypass bagi mengurangkan aliran trafik di jalan sedia ada, khususnya pada waktu puncak.
“Cadangan kedua ialah pembinaan dua jejambat di lokasi kritikal iaitu Bulatan Keris Batu 4 Jalan Apas dan kawasan Takada yang dikenal pasti sebagai punca utama kesesakan,” katanya.
Beliau berkata, sebagai penyelesaian jangka panjang, kerajaan negeri turut mempertimbangkan pembinaan Tawau Coastal Highway yang menyediakan laluan alternatif serta merancakkan pembangunan bandar dan ekonomi setempat.
Nizam berkata demikian ketika berucap pada Majlis Jamuan Makan Tengah Hari Bersama Ketua-Ketua Jabatan Persekutuan dan Negeri di Daerah Tawau, di sini, hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas itu berkata, isu kesesakan tidak boleh terus dilengah kerana setiap kali hujan dan waktu puncak, keadaan bertambah buruk serta menjejaskan keselamatan pengguna jalan raya.
“Jangan tunggu sehingga berlaku kemalangan besar barulah tindakan diambil,” katanya.
Susulan itu, beliau memaklumkan Ketua Menteri sudah mengarahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) menjalankan kajian kebolehlaksanaan terhadap semua cadangan berkenaan.
Menurutnya, projek pembangunan utama seperti naik taraf Lapangan Terbang Tawau bernilai RM130 juta hanya memberi impak maksimum sekiranya kemudahan asas termasuk sistem jalan raya berfungsi dengan cekap.
Dalam pada itu, Nizam berkata pembinaan Tawau International Cultural Centre (TICC) di pesisir Sabindo bakal menjadi mercu tanda baharu daerah itu serta hab utama Festival Kebudayaan Antarabangsa Tawau (FKAT).
Menyentuh soal pentadbiran, beliau mengingatkan penjawat awam supaya mengelakkan budaya birokrasi berlebihan dan melengahkan keputusan.
“Rakyat menilai kerajaan sebagai satu entiti. Jika isu asas gagal ditangani, kepercayaan rakyat akan terhakis,” katanya.
