Screenshot
LAHAD DATU: Tiga lelaki warga asing ditahan polis bersama rampasan dadah disyaki jenis syabu seberat keseluruhan 10.66 gram menerusi dua serbuan berasingan dalam Op Tapis yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu, hari ini.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Dzulbaharin bin Ismail berkata, dalam tangkapan pertama, pihak polis menahan seorang lelaki di kawasan belakang sebuah bangunan komersial di Jalan Reno Fajar, Lahad Datu.
“Hasil pemeriksaan mendapati suspek memiliki satu paket plastik lutsinar berisi hablur jernih disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat 5.21 gram,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, tangkapan kedua pula membabitkan dua lelaki yang ditahan di kawasan sebuah stesen minyak di Jalan Silam, Lahad Datu.
“Pemeriksaan lanjut menemukan satu paket plastik lutsinar mengandungi dadah disyaki syabu seberat 5.45 gram serta beberapa peralatan berkaitan penyalahgunaan dadah. Ujian saringan awal mendapati kedua-dua suspek positif dadah,” katanya.
Tambahnya, kesemua suspek kini ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah secara bekalan, manakala dua suspek turut disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana penyalahgunaan dadah.
ACP Dzulbaharin menegaskan komitmen berterusan IPD Lahad Datu dalam membanteras jenayah dadah dan menggesa orang ramai agar menyalurkan maklumat bagi membantu pihak polis mengekang kegiatan pengedaran serta penyalahgunaan dadah di daerah ini.
