KOTA KINABALU: 2,353 unit cecair vape pelbagai jenama bersama 92 jenis perisa vape dirampas dalam Operasi Bersepadu Inter-Agensi menerusi “Op Taring Landai E-Cigarette Mega” di sebuah premis sekitar Likas, di sini.
Operasi tersebut dilaksanakan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKN Sabah) serta Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.
Dalam serbuan itu, pemeriksaan awal oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menemui 92 jenis perisa vape yang dipamerkan di kaunter jualan premis berkenaan. Pemeriksaan lanjut oleh PPM Wilayah 4 Sabah kemudian menjumpai 2,353 unit cecair vape yang disimpan di dalam premis sama.
Kesemua barangan tersebut disyaki melanggar peruntukan di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).
Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan mencecah RM75,825.00.
Jika sabit kesalahan, individu terlibat boleh dikenakan denda sehingga RM20,000 atau penjara sehingga satu tahun, atau kedua-duanya sekali. Hukuman lebih berat boleh dikenakan bagi kesalahan berulang.
Pihak berkuasa menegaskan operasi penguatkuasaan akan terus dipergiat bagi membanteras penjualan dan pengedaran vape secara haram demi melindungi kesihatan awam. Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti ini diminta menyalurkannya kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.
