TAWAU: Komitmen memperkukuhkan keharmonian dan perpaduan masyarakat berbilang kaum terus menjadi keutamaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N68 Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, apabila beliau turun padang menyantuni masyarakat Cina di Kampung Kausing, Batu 5, sempena sambutan Tahun Baru Cina 2026.
Menteri Pembangunan Belia Kemajuan Sukan Dan Ekonomi Kreatif Sabah itu mengadakan lawatan dari rumah ke rumah bagi menyampaikan ucapan perayaan serta mendengar sendiri denyut nadi dan kebajikan penduduk setempat.
Menurut Datuk Nizam, pendekatan turun padang secara langsung penting bagi memastikan hubungan antara pemimpin dan rakyat terus terjalin erat tanpa mengira latar belakang kaum dan agama.
Sebagai simbol muhibah dan perkongsian kegembiraan, sumbangan berupa sekotak limau mandarin turut disampaikan kepada setiap isi rumah yang dikunjungi, sekali gus mencerminkan semangat kebersamaan dan saling menghormati dalam masyarakat majmuk.
Beliau berkata, kehadiran Tahun Baru Cina Tahun Kuda diharap menjadi pemangkin kepada pembaharuan, kemajuan serta semangat daya juang yang tinggi dalam kalangan masyarakat, selari dengan aspirasi pembangunan kawasan Apas.
“Nilai keberanian, ketekunan dan kemajuan yang melambangkan Tahun Kuda harus diterjemahkan dalam usaha membina perpaduan serta kesejahteraan bersama,” katanya.
Datuk Nizam turut menegaskan bahawa kestabilan sosial dan keharmonian kaum merupakan asas penting dalam menjayakan agenda pembangunan belia, sukan dan ekonomi kreatif di Sabah.
Beliau mengakhiri lawatan tersebut dengan mengucapkan Gong Xi Fa Cai dan Xin Nian Kuai Le kepada seluruh masyarakat Cina yang menyambut perayaan Tahun Baru Cina.
