SEMPORNA, 13 Februari 2026 — Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS) memandang serius isu premis pelancongan dan resort yang beroperasi tanpa lesen di daerah Semporna.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, beliau telah mempengerusikan mesyuarat Pasukan Petugas di Majlis Daerah Semporna bagi meneliti status penguatkuasaan terkini, cabaran pematuhan serta tindakan segera yang perlu diambil.
Menurutnya, berdasarkan rekod semasa, sebanyak 190 premis pelancongan dikenal pasti beroperasi di daerah itu. Daripada jumlah tersebut, hanya 45 premis memiliki lesen sah, manakala 59 premis masih dalam proses kelulusan, dan 86 premis didapati tidak mengambil sebarang inisiatif atau berdepan pelbagai isu pematuhan.
Antara isu utama yang dikenal pasti termasuk kegagalan mendapatkan Sijil Siap dan Pematuhan (CCC) atau Sijil Kelayakan Menduduki (OC), selain masalah berkaitan status tanah.
Sehubungan itu, kementerian mengarahkan pihak berkuasa tempatan menghentikan pengeluaran lesen sementara kepada mana-mana premis yang tidak memenuhi keperluan peraturan sedia ada.
Pada masa sama, tindakan tegas termasuk pemberhentian operasi akan dikenakan terhadap premis yang terus beroperasi tanpa pematuhan undang-undang.
Kementerian sebelum ini memberi tempoh tambahan tiga bulan kepada pengusaha untuk memohon lesen sejak Pasukan Petugas ditubuhkan pada Disember tahun lalu. Dengan tempoh kurang dua bulan sebelum tarikh akhir, semua pengusaha pelancongan digesa mengambil tindakan segera dan mematuhi peraturan serta undang-undang sedia ada.
Langkah itu penting bagi memastikan piawaian keselamatan, pematuhan peraturan, kelestarian alam sekitar serta imej pelancongan Sabah terus terpelihara. Kerajaan negeri tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menjejaskan keselamatan pelancong atau reputasi industri pelancongan negeri.
KePKAS bersama agensi berkaitan akan terus memperkukuh penyelarasan penguatkuasaan, di samping membantu pengusaha yang komited untuk mematuhi peraturan, bagi memastikan industri pelancongan Semporna berkembang secara teratur, bertanggungjawab dan mampan.
