LAHAD DATU, 14 Februari 2026 – Kursus Sea Combat amfibia yang diperkenalkan sejak 2023 di Sabah terus memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan keupayaan tempur pasukan keselamatan bagi menangani ancaman maritim sekali gus memastikan keselamatan negeri ini kekal terpelihara.
Latihan tempur yang memberi tumpuan kepada kemahiran pengendalian bot tempur, taktikal serbuan serta risikan maklumat itu bertujuan meningkatkan kesiapsiagaan anggota dalam menghadapi sebarang ancaman jenayah di perairan.
Ketua Polis Negara, IG Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, latihan berterusan amat penting bagi memastikan pegawai dan anggota sentiasa bersedia menghadapi cabaran keselamatan semasa.
Beliau berkata, program latihan seumpama itu dilaksanakan secara berkala bagi memperkukuh tahap kesiapsiagaan pasukan.
Menurutnya, tahun lalu dua siri latihan seumpama itu telah dijalankan, manakala bagi tahun 2026, kursus pertama diadakan bagi memastikan pegawai dan anggota terus bersedia melaksanakan tugas.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan penutupan Kursus Asas Sea Combat di Lahad Datu.
Kursus asas berkenaan yang berlangsung dari 11 Januari hingga 14 Februari itu diadakan di beberapa kawasan operasi termasuk sekitar Batalion 17 Pasukan Gerakan Am (PGA) serta perairan Pulau Adal, Semporna.
Seramai 43 pegawai kanan dan anggota terlibat dalam kursus asas tersebut.
Dalam ucapannya, Mohd Khalid turut menzahirkan rasa bangga terhadap disiplin, keupayaan fizikal, ketahanan mental serta semangat setiakawan yang dipamerkan peserta sepanjang kursus berkenaan.
Katanya, komitmen dan profesionalisme yang ditunjukkan mencerminkan standard latihan tinggi Polis Diraja Malaysia dalam memperkukuhkan keupayaan operasi keselamatan perairan negara, khususnya di Pantai Timur Sabah yang berdepan pelbagai ancaman.
Demonstrasi medan Sea Combat amfibia turut diadakan sebagai acara kemuncak penutupan kursus tersebut.
Turut hadir Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) PGA, DCP Datuk Mohammad Suzrin Mohammad Rodhi, Komander Briged Sabah, SAC Nor Omar Sappi serta Komander ESSCOM, Datuk Victor B. Sanjos.
