KOTA KINABALU 15 FEBRUARI-
Sempena sambutan Tahun Baharu Cina, operasi keselamatan jalan raya dilaksanakan di seluruh daerah di Sabah bagi memastikan perjalanan pulang ke kampung halaman berjalan lancar dan selamat.
Operasi bersepadu melibatkan Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia ( JPJ) serta Jabatan Alam Sekitar (JAS)memberi tumpuan kepada pemeriksaan kenderaan awam khususnya bas yang membawa penumpang balik kampung selain memperkukuh kempen kesedaran keselamatan dalam kalangan pengguna jalan raya.
Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Kontinjen Sabah,Datuk Mohd Azhar Hamin berkata operasi ini turut disertai kempen galakan kepada masyarakat menyertai program Volunteer Smartphone Patrol atau VSP bagi meningkatkan keselamatan komuniti.
Kenderaan seperti bas-bas yang membawa penumpang balik kampung menjadi fokus utama dalam operasi yang digerakkan secara kolaborasi antara PDRM, JPJ dan Agensi Alam Sekitar.
Pemeriksaan dilakukan bagi memastikan bas berada dalam keadaan selamat termasuk semakan lesen pemandu, keadaan teknikal kenderaan serta tahap pematuhan terhadap peraturan keselamatan jalan raya.
Selain itu pemasangan pendrive keselamatan pada bas turut dilaksanakan sebagai medium penyampaian maklumat kempen keselamatan kepada penumpang sepanjang perjalanan.
Dalam masa sama pihak polis terus menggiatkan kempen kepada masyarakat supaya menyertai program VSP yang membolehkan orang ramai memohon rondaan polis ketika meninggalkan rumah serta menyalurkan maklumat berkaitan jenayah, dadah dan kecemasan.
Kempen “Balik Kampung Rumah Selamat” turut ditekankan dengan mesej selamat pergi dan selamat sampai sepanjang musim perayaan.
“Di mana kita lihat kemalangan jalan raya ni kadang-kadang malang tidak berbau..yang penting adalah diri sendiri kena sedar.
Di sini kecuaian adalah kadang-kadang berpunca daripada diri sendiri. Pastikanlah ingatan terakhir pada kami pihak polis kepada masyarakat berhati-hati di jalan raya.. jangan terburu-buru.. memandu secara berhemat pastikan kenderaan yang digunakan itu dalam keadaan selamat. Dan kena berhati perut jangan memikirkan diri sendiri,katanya.
Menurut beliau, beberapa daerah termasuk Kota Kinabalu, Penampang, Tawau, Lahad Datu, Ranau dan Keningau dikenal pasti sebagai kawasan yang kerap berlaku kemalangan.
Punca kemalangan berpunca daripada faktor jalan serta kecuaian pemandu ,dengan sikap tidak sabar dan kurang bertimbang rasa dikenal pasti sebagai penyumbang utama.
Operasi dilaksanakan secara berperingkat di lokasi strategik dengan pemantauan berterusan bagi meningkatkan tahap keselamatan pengguna jalan raya.
Pengusaha bas turut diingatkan supaya memastikan pemasangan Speed Limitation Device berfungsi dengan baik serta memastikan pelepasan asap kenderaan terkawal bagi mengelakkan gangguan penglihatan pengguna lain.
Maklumat kempen keselamatan yang dimuatkan dalam peranti digital di dalam bas diharap dapat meningkatkan kesedaran penumpang mengenai keselamatan jalan raya dan pencegahan jenayah.
Sehubungan itu orang ramai dinasihatkan supaya merancang perjalanan dengan teliti, memandu secara berhemah dan sentiasa mengutamakan keselamatan sepanjang musim perayaan.
