LAHAD DATU: Suasana penuh keinsafan dan ukhuwah terasa apabila Ahli Jawatankuasa Masjid Nurul Aman mengadakan ziarah kasih sayang ke rumah Encik Yoosnaini yang sedang diuji dengan sakit.
Rombongan tersebut diketuai oleh Pengerusi Masjid Nurul Aman, Tuan Haji Dr. Mohammad Ayub Yaacob, sebagai tanda sokongan dan keprihatinan pihak masjid terhadap jemaah yang memerlukan perhatian.
Kunjungan itu bukan sahaja bertujuan bertanya khabar, malah sebagai usaha mengeratkan silaturahim serta memberi semangat kepada Encik Yoosnaini dan keluarganya.
Dalam suasana penuh rasa kekeluargaan, rombongan turut mendoakan agar beliau diberikan kekuatan, kesabaran dan kesembuhan oleh Allah SWT lebih lagi menjelang bulan ramadan.
Tuan Haji Dr. Mohammad Ayub dalam ucapannya menzahirkan harapan agar ziarah seperti ini dapat terus menjadi amalan dalam kalangan jemaah.
Menurut beliau, tradisi menziarahi orang sakit bukan sekadar tanggungjawab sosial, tetapi juga ibadah yang mengukuhkan hubungan sesama umat Islam.
Ziarah tersebut diakhiri dengan bacaan doa bersama, memohon agar Encik Yoosnaini diberikan kesembuhan dan dipermudahkan segala urusan.
“ Semoga kasih sayang dan sokongan yang ditunjukkan ini menjadi asbab kebaikan, serta mengingatkan kita semua tentang pentingnya saling mengambil berat antara satu sama lain. InsyaAllah, amiin ya rabbal alamin,” katanya.
