SEMPORNA: Cadangan penubuhan pasukan petugas khas bagi menangani isu industri pelancongan di Semporna disaran melalui proses perbincangan serta penyelarasan menyeluruh antara dua kementerian berkaitan terlebih dahulu.
Pengerusi Persatuan Pengusaha Syarikat Pelancongan Bumiputera Tempatan Semporna PUSPABUMI, Mad Zafar Mad Zahala, berkata isu melibatkan premis penginapan tidak terletak sepenuhnya di bawah bidang kuasa Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, sebaliknya turut membabitkan Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah yang mempunyai kuasa dalam aspek kerajaan tempatan serta perlesenan.
Menurut beliau, penyelarasan dasar dan pelaksanaan antara kedua dua kementerian itu penting bagi memastikan sebarang keputusan yang dibuat tidak bercanggah serta dapat dilaksanakan secara lebih teratur.
“Selepas penyelarasan dicapai, barulah cadangan penubuhan pasukan petugas khas dapat dilaksanakan secara sah dan berkesan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menambah, koordinasi yang jelas mampu memastikan tindakan yang diambil bersifat menyeluruh dan adil, selain tidak menjejaskan pengusaha tempatan yang telah lama beroperasi serta menyumbang kepada pembangunan sektor pelancongan di daerah berkenaan.
Terdahulu, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin dilaporkan memaklumkan bahawa kerajaan negeri akan menubuhkan pasukan petugas khas bagi memantau industri pelancongan di Semporna, khususnya dalam aspek tadbir urus dan penguatkuasaan.
Dalam pada itu, PUSPABUMI berpandangan pendekatan terbaik ketika ini ialah memperkukuh komunikasi antara kedua dua kementerian terbabit bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan pemain industri.
Sebelum ini, persatuan berkenaan turut menggesa kerajaan negeri supaya mempermudahkan proses permohonan lesen dan tanah bagi membantu kelangsungan pengusaha pelancongan bumiputera di Semporna.
Menurut mereka, isu pelesenan dan tanah memberi impak besar kepada pengusaha kecil dan sederhana yang berdepan kekangan kewangan serta prosedur pentadbiran yang rumit.
PUSPABUMI turut mencadangkan agar satu jawatankuasa khas diwujudkan bagi meneliti isu pelesenan dan tanah, selain mempertimbangkan cadangan membuka pejabat Jabatan Tanah dan Ukur Sabah di Semporna bagi mempercepatkan proses permohonan.
