PITAS, 21 Februari 2026 – Seramai 67 penduduk Kampung Sibaung dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara PPS Resthouse selepas kediaman mereka dinaiki air dalam kejadian banjir awal pagi tadi.
Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sabah, panggilan kecemasan diterima pada jam 1.16 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pitas digerakkan ke lokasi kejadian.
Jentera pertama tiba pada jam 1.25 pagi dengan jarak operasi kira kira lapan kilometer dari balai.
Komander Operasi, PBK I Mohd Nor Azmer Mat Shor Nasir mengesahkan berlaku kejadian banjir yang menyebabkan beberapa penduduk terperangkap dan memerlukan bantuan pemindahan segera.
Pasukan bomba dengan kekuatan lapan anggota menggunakan sebuah lori bersama enam anggota dan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Vigo bersama dua anggota telah melaksanakan operasi pemindahan mangsa ke PPS Resthouse dengan selamat.
Pecahan Mangsa Dipindahkan
Lelaki dewasa: 10 orang
Perempuan dewasa: 32 orang
Kanak kanak perempuan: 10 orang
Kanak kanak lelaki: 15 orang
Jumlah keseluruhan: 67 orang
Operasi turut dibantu oleh Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia bagi memastikan keselamatan serta kelancaran proses pemindahan.
Operasi berjaya dikawal sepenuhnya dan ditamatkan pada jam 3.40 pagi selepas pasukan penyelamat memastikan tiada lagi mangsa terjejas di kawasan berkenaan.
Ketua Balai BBP Pitas, PBT II Noor Jali Maslah memaklumkan keadaan semasa adalah terkawal dan semua mangsa ditempatkan di PPS untuk tindakan lanjut.
Pihak bomba menasihatkan orang ramai khususnya penduduk di kawasan rendah agar sentiasa berwaspada serta mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya berlaku peningkatan paras air secara mendadak.
