KOTA KINABALU: Pergerakan Pemuda Pusat Parti Gagasan Rakyat Sabah menzahirkan pendirian tegas dan berprinsip terhadap isu tuntutan Filipina ke atas Sabah yang kembali dibangkitkan susulan kenyataan Jabatan Hal Ehwal Luar Filipina (DFA) berhubung peta pentadbiran 2012.
Dalam satu kenyataan media hari ini, Pemangku Ketua Pemuda Gagasan Rakyat, Azrul bin Ibrahim berkata pihaknya memandang serius perkembangan berkenaan dan menolak sebarang tuntutan yang disifatkan tidak mempunyai asas perundangan serta legitimasi sejarah.
Menurut beliau, Sabah adalah sebahagian yang sah dan berdaulat dalam Persekutuan Malaysia, dan kedudukan itu telah dimuktamadkan melalui proses sejarah serta kerangka perundangan antarabangsa.
“Pendirian kami jelas, sebarang cubaan untuk menghidupkan kembali tuntutan terhadap Sabah adalah tidak berasas dan tidak boleh diterima sama sekali,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa pendirian itu selaras dengan kenyataan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor sebelum ini yang menegaskan kerajaan negeri tidak akan melayan tuntutan sedemikian serta akan terus mempertahankan kedaulatan negeri dalam Persekutuan Malaysia.
Pemuda Gagasan Rakyat berpandangan isu berkenaan tidak wajar dibangkitkan semula kerana berpotensi menjejaskan hubungan baik serantau serta mencetuskan kegusaran antara negara terlibat.
Sehubungan itu, sayap pemuda parti berkenaan menyeru seluruh rakyat Sabah khususnya golongan muda agar terus bersatu hati dan memperkukuh semangat kebersamaan dalam mempertahankan kedaulatan negeri.
“Dalam menghadapi sebarang cabaran, perpaduan rakyat adalah kekuatan utama yang perlu dipelihara. Sabah dibina atas asas keamanan, keharmonian dan kedaulatan yang tidak boleh dikompromi,” katanya lagi.
Tambah beliau, Pemuda Gagasan Rakyat akan terus komited menjadi suara yang mempertahankan kedaulatan Sabah serta menyokong segala usaha kerajaan dalam memastikan keselamatan dan kestabilan negeri sentiasa terpelihara.
“Dalam soal kedaulatan, pendirian kita jelas, tegas, konsisten dan tidak berkompromi. Sabah kekal bersama Malaysia, dulu, kini dan selamanya,” tegasnya.
