KKM dan PGA menjalankan serbuan ke atas premis menjual vape di Tawau.
TAWAU: Sebanyak 525 produk peranti tembakau termasuk rokok elektronik (vape) tidak berdaftar disita dalam Operasi Taring Alpha 3 Tangkapan dan Rampasan yang dijalankan baru-baru ini.
Operasi bersepadu itu membabitkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Pejabat Kesihatan Kawasan Tawau dan Task Force Battalion 14 Pasukan Gerakan Am (PGA) Tawau.
Pegawai Kesihatan Kawasan Tawau, Dr. Shameer Khan Sulaiman berkata, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan hampir RM14,000.
Menurutnya, antara kesalahan dikesan ialah menjual vape yang tidak berdaftar dengan KKM selain pembungkusan serta pelabelan tidak mengikut spesifikasi ditetapkan.
“Kita turut mengesan kesalahan mengiklankan produk peranti tembakau yang melanggar peruntukan di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024.
“Semua 525 peranti yang dirampas ini bukan barang seludup, namun ia tidak berdaftar dan gagal mematuhi syarat ditetapkan termasuk ada yang tidak melalui proses kemasukan yang betul,” katanya ketika ditemui selepas Ops Bazar Ramadan dan Promosi Kesihatan Tibi 2026, di sini, Rabu.
Beliau berkata, tindakan itu hasil risikan bersama pasukan PGA bagi membanteras penjualan produk tidak mematuhi peraturan di daerah ini.
“Penjual dan pengedar perlu patuh syarat ditetapkan. Produk mesti berdaftar dan mengikut garis panduan KKM.
“Jika ingkar, kita tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas termasuk rampasan dan pelupusan,” katanya.
Menurutnya, operasi seumpama itu akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi mengekang lambakan produk tidak berdaftar di pasaran serta melindungi kesihatan awam.
Katanya, semua peranti yang disita akan dilupuskan mengikut prosedur ditetapkan.
