Dr. Shameer ketika menjalankan pemeriksaan ke atas premis bazar Ramadan.
TAWAU: Seramai 14 peniaga bazar Ramadan di daerah ini dikenakan notis kesalahan selepas pemeriksaan dijalankan Pejabat Kesihatan Kawasan Tawau setakat hari ketujuh Ramadan.
Operasi membabitkan 60 anggota itu memeriksa 82 premis di beberapa lokasi tumpuan termasuk Fujimart, Sabindo dan perkarangan parkir Bataras.
Pegawai Kesihatan Kawasan Tawau, Dr. Shameer Khan Sulaiman berkata, antara kesalahan dikesan ialah pelanggaran Perkara 32(1)(b) di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 iaitu tidak mematuhi keperluan pakaian pengendali makanan.
“Kita juga mengesan kesalahan di bawah Perkara 11(1)(b) apabila majikan menggaji pengendali makanan tanpa sijil latihan pengendalian makanan.
“Selain itu, terdapat kes berkaitan kebersihan diri seperti berkuku panjang, memakai perhiasan tangan, tidak menghadiri kursus pengendali makanan serta penggunaan perkakas yang kotor,” katanya ketika ditemui selepas Ops Bazar Ramadan dan Promosi Kesihatan Tibi 2026, Rabu.
Menurutnya, secara keseluruhan terdapat 20 lokasi bazar Ramadan di Tawau dan pemeriksaan akan diteruskan sehingga penghujung Ramadan.
“Walaupun notis dikeluarkan, kita dapati tahap pematuhan dan pengetahuan penjaja semakin baik berbanding sebelum ini. Namun pemantauan tetap diteruskan bagi memastikan makanan dijual selamat,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, satu kes berkaitan pembiakan nyamuk Aedes dibawa ke mahkamah susulan peningkatan kes denggi di daerah ini.
Katanya, selepas dikompaun dan masih gagal mematuhi arahan, pemilik premis terbabit didenda RM3,500 oleh mahkamah kerana memberi perlindungan kepada larva nyamuk Aedes.
“Setakat ini, sebanyak 264 kes denggi direkodkan di Tawau. Memang ada peningkatan sebelum ini, namun kini kita lihat trend menurun hasil tindakan agresif termasuk gotong-royong dan kerjasama pelbagai agensi,” katanya.
Beliau berkata, antara kawasan ‘panas’ dikenal pasti ialah Taman Mas, Taman Semarak dan Kampung Titingan.
“Kita akan terus perhebat promosi kebersihan serta laksanakan program seperti COMBI bagi memastikan kes denggi dapat dikawal terutama menjelang musim perayaan,” katanya.
