Pembinaan Lebuhraya Pan Borneo bagi pakej WP33 di daerah Ranau yang melibatkan laluan dari Kampung Lumou Baru ke Kampung Toupus sepanjang 19.5 kilometer kini memberi kesan langsung kepada pengguna jalan raya serta penduduk setempat sepanjang tempoh pembinaan projek itu.
Penduduk mendakwa keadaan jalan semakin rosak dan berlubang berikutan kekerapan laluan kenderaan berat yang keluar masuk ke tapak projek.
Penduduk Kampung Lumou Baru, Arnold Modinik berkata, perbezaan keadaan jalan kini sangat ketara berbanding sebelum pembinaan dijalankan sehingga menyebabkan kos penyelenggaraan kenderaan meningkat.
Menurutnya, kerosakan seperti tayar cepat haus dan komponen kenderaan rosak menjadi perkara biasa sehingga membebankan penduduk yang kebanyakannya bukan daripada golongan berada.
Beliau berharap projek pembinaan lebuh raya itu dapat disiapkan dengan lebih cepat bagi mengurangkan beban yang ditanggung penduduk setempat.
Keadaan jalan yang rosak turut menjejaskan operasi peniaga tempatan.
Pembekal ikan, Rafi Alman berkata, kerosakan jalan menyebabkan penghantaran bekalan sering lewat selain kerap berdepan masalah tayar pancit dan kerosakan komponen kenderaan.
Menurutnya, kos penyelenggaraan seperti penukaran bush dan pad brek boleh mencecah sekitar RM200 hingga RM300 setiap kali pembaikan dilakukan.
Di Kampung Toupus pula, penduduk turut berdepan laluan berlumpur terutama ketika hujan apabila air mengalir dari kawasan lebih tinggi ke jalan kampung.
Penduduk kampung, Alex Lajurus Guntas berkata keadaan itu menyukarkan pergerakan harian dan memberi kesan kepada kehidupan penduduk.
Beliau berharap pembinaan Lebuhraya Pan Borneo dapat disiapkan segera supaya penduduk kampung dapat menikmati kemudahan jalan yang lebih baik.
Sementara itu, Ketua Kampung Toupus, Inik @ Rusiah Marid berkata keadaan jalan sebelum pembinaan Pan Borneo masih boleh dilalui namun kini menjadi lebih sukar terutama bagi kenderaan kecil.
Menurutnya, aliran air serta laluan kenderaan berat menyebabkan jalan berbatu bertukar menjadi lumpur dan rosak sehingga menyukarkan penduduk keluar masuk kampung.
Penduduk berharap pihak berkaitan dapat mempercepatkan pembinaan projek Lebuhraya Pan Borneo supaya masalah jalan rosak yang dihadapi ketika ini dapat diselesaikan.
