RANAU, 4 Mac – Seramai 29 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam satu operasi penguatkuasaan yang dijalankan di tiga lokasi berasingan sekitar daerah ini pada Selasa kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
Pengarah Imigresen Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof, berkata operasi tersebut melibatkan seramai 18 pegawai penguat kuasa dengan kerjasama Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Daerah Ranau.
“Hasil pemeriksaan terhadap 41 individu, seramai 29 PATI berjaya ditahan terdiri daripada 11 lelaki dewasa, lapan perempuan dewasa, lima kanak kanak lelaki dan lima kanak kanak perempuan. Kesemua yang ditahan merupakan warganegara Filipina.
“Mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 36 Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155),” katanya dalam satu kenyataan.
Kesemua yang ditahan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen untuk tindakan lanjut.
Beliau turut menegaskan bahawa tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana mana individu atau pihak yang melindungi atau menggaji pendatang asing tanpa izin.
Orang ramai juga diseru supaya menyalurkan maklumat berkaitan kehadiran warga asing tanpa izin bagi membantu usaha penguatkuasaan pihak berkuasa.
