SANDAKAN, 12 Mac 2026: Pasukan Polis Marin Sandakan berjaya merampas pelbagai jenis rokok yang disyaki tidak berkastam bernilai kira kira RM204,000 dalam satu operasi di Kampung Sungai Kayu, Batu 7, malam tadi.
Operasi tersebut dijalankan selepas pihak polis menerima maklumat daripada orang awam mengenai aktiviti penyeludupan serta pemunggahan rokok seludup di kawasan berkenaan.
Menurut Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4, ACP Ahmad Amri Abd Rahman, sepasukan anggota PPM Sandakan telah menjalankan pemantauan di sebuah rumah di kampung tersebut pada 12 Mac sekitar jam 7.30 malam.
Katanya, hasil pemantauan yang dijalankan selama beberapa jam di sekitar rumah berkenaan tidak menemui sebarang aktiviti mencurigakan.
Namun begitu, pasukan serbuan kemudiannya menghampiri rumah tersebut bagi menjalankan pemeriksaan lanjut.
“Hasil pemeriksaan di dalam rumah berkenaan mendapati terdapat beberapa bungkusan plastik berwarna hitam yang diletakkan di ruang rumah.
“Pemeriksaan lanjut terhadap bungkusan tersebut menemui pelbagai jenis rokok yang disyaki tidak berkastam antaranya rokok putih jenama Era Ice Plus, Satos Black Menthol dan Satos Blue,” katanya dalam satu kenyataan.
Kesemua barang rampasan telah dibawa ke Markas Operasi Pasukan Polis Marin Sandakan untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967.
Dalam pada itu, Polis Diraja Malaysia merakamkan penghargaan kepada orang awam yang menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan penyeludupan tersebut.
Orang ramai juga diseru supaya terus bekerjasama dengan pihak polis dengan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti jenayah demi keselamatan dan kesejahteraan bersama.
