Sedar atau tidak, Ramadan kini telah memasuki pertengahan bulan. Setiap hari kita dapat melihat umat Islam berpusu-pusu mengunjungi bazar Ramadan serta premis yang menawarkan buffet berbuka puasa. Fenomena ini menggambarkan kemeriahan Ramadan dan budaya berbuka puasa bersama keluarga, rakan-rakan serta masyarakat.
Namun di sebalik kemeriahan tersebut, satu persoalan penting yang perlu diberi perhatian ialah tahap kesedaran masyarakat terhadap status halal makanan yang dipilih. Masih terdapat segelintir pengguna yang kurang mengambil berat sama ada makanan yang dibeli mempunyai sijil halal atau tidak, ataupun sama ada premis buffet Ramadan yang dipilih memiliki pensijilan halal yang sah.
Perkara ini perlu dipandang serius kerana dalam industri makanan terdapat beberapa bahan mentah yang dikategorikan sebagai bahan kritikal halal. Antaranya termasuk sumber ayam dan daging, penggunaan keju yang mungkin mengandungi rennet daripada sumber yang tidak jelas, serta penggunaan gelatin dalam produk seperti marshmallow dan makanan seumpamanya. Sekiranya sumber bahan-bahan ini tidak dipastikan statusnya, ia boleh menimbulkan keraguan atau berada dalam kategori syubhah.
Dalam Islam, mencari makanan yang halal bukan sekadar satu pilihan, tetapi merupakan satu kewajipan bagi setiap Muslim. Islam turut menekankan konsep pemakanan halalan toyyiban, iaitu makanan yang bukan sahaja halal, malah baik, bersih dan selamat untuk dimakan.
Perkara ini selaras dengan firman Allah SWT dalam al Quran:
“Wahai sekalian manusia! Makanlah daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik (halalan toyyiban).”
(Surah Al Baqarah: 168)
Menariknya, ayat ini dimulakan dengan seruan “wahai sekalian manusia” yang menunjukkan bahawa konsep halal bukan hanya ditujukan kepada umat Islam sahaja, bahkan ia merupakan satu sistem pemakanan yang baik untuk seluruh manusia.
Selain itu, Rasulullah SAW juga mengingatkan umat Islam agar berhati hati terhadap perkara yang meragukan. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Al Nu’man ibn Bashir, Baginda SAW bersabda:
“Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas. Di antara kedua duanya terdapat perkara perkara syubhah yang tidak diketahui oleh kebanyakan manusia.”
(Riwayat Muhammad ibn Ismail al Bukhari dan Muslim ibn al Hajjaj)
Hadis ini memberikan panduan penting kepada umat Islam agar menjauhi perkara yang meragukan demi menjaga agama dan maruah diri.
Dalam konteks Malaysia hari ini, masyarakat juga berhadapan dengan lambakan bahan mentah yang diimport dari pelbagai negara serta kemasukan pelbagai produk makanan yang mungkin berada dalam kategori syubhah. Keadaan ini menuntut pengguna agar lebih peka dan berhati hati dalam membuat pilihan.
Oleh itu, masyarakat Islam perlu menjadi pengguna yang lebih bijak dan bertanggungjawab dengan memilih makanan serta premis yang mempunyai pensijilan halal Malaysia yang diiktiraf oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia. Langkah ini bukan sahaja memastikan kita mematuhi tuntutan syariah, malah secara tidak langsung dapat meningkatkan permintaan terhadap produk halal dan memperkukuhkan ekosistem halal negara.
Akhirnya, kesedaran halal perlu bermula daripada diri kita sendiri. Ramadan seharusnya menjadi medan untuk meningkatkan ketakwaan, termasuk dalam soal pemilihan makanan. Dengan memilih yang halal dan menjauhi yang syubhah, insyaAllah kita bukan sahaja menjaga tuntutan agama, malah turut memperoleh keberkatan dalam setiap rezeki yang kita nikmati.
Penulis
Mohd Shahril Abd Samat
Pegawai Hal Ehwal Islam
Ketua Seksyen Penyelidikan dan Pembangunan Islam
Program Teras
Institut Latihan Islam Malaysia, Bangi
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
