Rina bersama media dalam majlis moreh malam tadi.
TAWAU: Cadangan mewujudkan rumah transit bagi menempatkan mangsa bencana seperti kebakaran dan banjir di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukusan sedang diusahakan sebagai langkah persediaan menghadapi sebarang kejadian tidak dijangka.
Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Rina Jainal, berkata cadangan itu sudah dibangkitkan kepada Majlis Perbandaran Tawau (MPT) bagi mengenal pasti lokasi sesuai untuk tujuan berkenaan.
Beliau berkata, kewujudan rumah transit penting bagi memastikan mangsa bencana mempunyai tempat perlindungan sementara sebelum mendapatkan kediaman baharu.
“Saya sebelum ini mencadangkan kepada pihak MPT supaya mengenal pasti kawasan tertentu yang boleh dijadikan rumah transit.
“Kita akan berusaha melaksanakan cadangan ini melalui kementerian kerana kita perlu sentiasa bersedia menghadapi bencana atau situasi tidak dijangka,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukusan berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Moreh bersama media di sini, malam tadi.
Rina berkata, rumah transit yang dicadangkan itu dijangka mampu menempatkan beberapa keluarga pada satu-satu masa bergantung kepada keluasan kawasan yang diperoleh.
“Sekiranya direalisasikan, rumah transit ini mungkin boleh menempatkan kira-kira 10 keluarga dalam satu masa, namun jika melibatkan bencana lebih besar, kawasan lebih luas diperlukan bagi menampung lebih ramai mangsa,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata majlis moreh bersama media itu turut menjadi platform santai untuk mengeratkan hubungan selain berkongsi perkembangan semasa selepas beliau dilantik sebagai pembantu menteri kira-kira tiga bulan lalu.
Menurutnya, sepanjang tempoh itu beliau memberi tumpuan kepada usaha turun padang bagi meneliti sendiri keperluan rakyat selain menjalinkan kerjasama dengan Hospital Tawau dalam memperkenalkan beberapa perkhidmatan baharu.
Antaranya termasuk perkhidmatan Mama Sweet yang memberi fokus kepada penjagaan lebih profesional kepada ibu selepas bersalin.
Selain itu, Pusat Autisme Sabah (PAUS) juga bakal membuka cawangan di Tawau yang kini sudah mula beroperasi dan dijangka dirasmikan secara rasmi pada April depan.
Mengulas isu banjir yang menjejaskan beberapa kawasan perumahan di Tawau baru-baru ini, Rina berkata pihaknya melalui Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) turut membantu menyelesaikan masalah yang timbul termasuk isu berkaitan projek naik taraf Jalan Utara.
Beliau turut memaklumkan bahawa program Ziarah Kasih Ramadan yang dilaksanakan sepanjang bulan Ramadan berjaya menyantuni lebih 200 golongan memerlukan termasuk asnaf, orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal, anak yatim dan warga emas di sekitar Kukusan.
