NIzam (kanan) menerima cenderahati daripada pihak penganjur majlis berkenaan.
TAWAU: Tindakan individu yang didakwa memijak al-Quran seperti yang tular di media sosial baru-baru ini disifatkan sebagai perbuatan biadab dan tidak boleh diterima dalam masyarakat majmuk di negara ini.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata perbuatan menghina atau memperlekehkan mana-mana agama perlu dipandang serius dan wajar dikenakan tindakan tegas oleh pihak berkuasa.
Beliau berkata, sebagai negara yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum dan agama, setiap individu seharusnya menghormati kepercayaan serta sensitiviti penganut agama lain.
“Perbuatan memijak al-Quran adalah tindakan yang tidak boleh kita terima sebagai rakyat Malaysia yang hidup dalam suasana saling menghormati kepelbagaian kaum dan agama.
“Kita berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang memperlekehkan atau menghina mana-mana agama di negara ini,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Khatam al-Quran di Masjid Al-Munawwarah, Batu 2, Jalan Apas, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Nizam berkata keharmonian yang dinikmati rakyat Malaysia sejak sekian lama perlu terus dipelihara dengan mengamalkan sikap saling menghormati dan memahami antara satu sama lain.
Katanya, walaupun rakyat negara ini terdiri daripada pelbagai latar belakang agama dan kaum, perbezaan itu sebenarnya menjadi kekuatan untuk memperkukuh perpaduan.
“Amalan seperti ini tidak sepatutnya berlaku dan kita berharap perkara seumpama ini tidak berulang pada masa hadapan.
“Kita perlu terus memupuk sikap hormat-menghormati agar keharmonian dan perpaduan yang kita kecapi selama ini terus terpelihara,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut memuji inisiatif Jawatankuasa Masjid Al-Munawwarah yang menganjurkan Majlis Khatam al-Quran sempena Ramadan.
Menurutnya, penganjuran program berkenaan bukan sahaja dapat menyemai kecintaan umat Islam terhadap al-Quran, malah berperanan mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat setempat.
“Program seperti ini amat baik kerana bukan sahaja menyemai kecintaan terhadap al-Quran, malah mengukuhkan hubungan kekeluargaan dan silaturahim dalam kalangan penduduk.
“Malah, ia juga mampu menarik minat generasi muda untuk lebih mendekati, mempelajari serta memahami pengisian al-Quran,” katanya.
