KEADAAN empangan air di Pulau Sebatik yang semakin susut sekitar 0.9 meter susulan kemarau berpanjangan sejak Februari lalu. (gambar kecil) … Suryady (tiga dari kiri) meninjau penghantaran bekalan air daripada Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) kepada penduduk di Pulau Sebatik.
TAWAU: Pelbagai langkah segera dan jangka panjang sedang digerakkan bagi menangani krisis bekalan air di Pulau Sebatik yang kini berada pada tahap kritikal susulan kemarau berpanjangan sejak Februari lalu.
Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy berkata, antara tindakan segera dilaksanakan termasuk pengagihan 3,500 karton air mineral botol bersaiz 1.5 liter kepada penduduk terjejas.
Menurutnya, setiap ketua isi rumah menerima tiga karton air sebagai langkah sementara bagi menampung keperluan harian.
Dalam masa sama, katanya, Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) turut melaksanakan catuan bekalan air berjadual serta menghantar air terawat menggunakan lori tangki ke kawasan kampung terlibat.
“Selain itu, dua unit Portable Water Purification Plant (PWPP) berkapasiti 1,000 liter sejam sudah dipasang dan beroperasi 24 jam di Kampung Bergosong dan Kampung Sungai Laba untuk merawat air daripada telaga tiub sedia ada.
“Kita juga telah memohon penambahan unit PWPP bagi memperluaskan lagi liputan bekalan kepada penduduk terjejas,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau keadaan semasa bekalan air di beberapa kampung termasuk Wallace Bay, Sungai Tongkang, Sungai Laba dan Bergosong.
Suryaydy berkata, hasil tinjauan mendapati kira-kira 30 telaga dan telaga tiub yang dibina ketika kemarau pada 2024 masih berfungsi, namun memerlukan penyelenggaraan berkala bagi memastikan kualiti air terjamin.
Mengulas perancangan jangka panjang, beliau berkata projek mendalamkan dan mengorek takungan air di Empangan Wallace Bay yang diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) perlu disegerakan.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan projek berkenaan masih berada pada peringkat perolehan dan menunggu kelulusan serta pelaksanaan sepenuhnya.
“Projek ini sudah lama dipohon dengan kos dianggarkan hampir RM40 juta. Selain itu, kita turut memohon peruntukan kerajaan negeri bagi pembinaan takungan air baharu sebagai tambahan sumber bekalan di pulau ini,” katanya.
Beliau berkata, paras air di empangan utama ketika ini berada sekitar 0.9 meter dan masih belum menunjukkan tanda pemulihan, sekali gus membimbangkan kerana ia merupakan sumber utama kepada lebih 5,000 penduduk di pulau berkenaan.
Dalam pada itu, beliau turut memuji inisiatif penduduk yang mengambil langkah sendiri membina telaga tiub sebagai sumber alternatif.
Bagaimanapun, beliau menasihatkan agar air daripada sumber tersebut tidak digunakan untuk minuman atau memasak kerana tahap kebersihannya tidak terjamin.
“Air telaga tiub hanya sesuai untuk kegunaan seperti mandi dan mencuci. Untuk minum dan memasak, ia perlu melalui rawatan serta pemeriksaan pihak berwajib terlebih dahulu,” katanya.
