Nizam (empat kanan) menyempurnakan simbolik penyerahan kunci Rumah Mesra SMJ kepada penerima di Kampung Batu Payung, Tawau.
TAWAU: Kontraktor yang dilantik bagi melaksanakan projek Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) diingatkan supaya menjalankan tanggungjawab secara kompeten, telus dan mematuhi spesifikasi ditetapkan bagi mengelakkan kelewatan serta menjejaskan imej kerajaan.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata pelaksanaan projek berkenaan perlu dilakukan dengan penuh integriti memandangkan ia membabitkan kebajikan golongan kurang berkemampuan.
“Kontraktor yang dilantik perlu melaksanakan pembinaan dengan baik, mengikut jadual serta spesifikasi yang ditetapkan kementerian.
“Kita tidak mahu berlaku situasi kontraktor menyerahkan projek kepada pihak lain sehingga menjejaskan kos dan akhirnya projek tidak dapat disiapkan seperti dirancang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Rumah Mesra SMJ kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N68 Apas di Kampung Batu Payung, di sini, hari ini.
Menurutnya, sebarang ketidakcekapan atau ketidaktelusan dalam pelaksanaan projek bukan sahaja menyusahkan pemohon, malah boleh menjejaskan reputasi wakil rakyat serta kerajaan yang berhasrat membantu rakyat.
Mengulas lanjut, beliau berkata sejak 2022 hingga 2025, sebanyak 100 unit Rumah Mesra SMJ berjaya disiapkan di kawasan DUN Apas, sekali gus memberi manfaat kepada 100 keluarga kurang berkemampuan.
Katanya, pada majlis berkenaan, sebanyak 31 unit rumah diserahkan kepada penerima yang telah siap dibina, manakala tahun ini sebanyak 50 unit lagi diperuntukkan termasuk 10 unit khas untuk golongan belia yang baru berkahwin.
“Program ini memberi manfaat besar kepada golongan e-Kasih dan miskin tegar yang tidak mempunyai kemampuan untuk memiliki rumah sendiri.
“Di seluruh Sabah, program ini sudah memberi manfaat kepada lebih 7,000 penerima setakat ini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan proses pemilihan penerima dilaksanakan secara telus melalui jawatankuasa melibatkan Kementerian Pembangunan Luar Bandar negeri serta pihak berkuasa tempatan.
Katanya, setiap permohonan akan disemak secara terperinci termasuk lawatan ke lapangan bagi memastikan hanya mereka yang benar-benar layak menerima bantuan.
“Sekiranya maklumat tidak tepat atau tidak memenuhi syarat, permohonan akan dibatalkan.
“Setakat ini, semua penerima di kawasan Apas adalah mereka yang benar-benar memerlukan bantuan,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan negeri di bawah pimpinan Datuk Seri Panglima Hajiji Noor akan terus komited melaksanakan inisiatif berkenaan bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat selaras agenda Sabah Maju Jaya.
