Suspek bersama semua minyak petrol yang ditemukan dirampas untuk tindakan lanjut.
SEMPORNA: Cubaan seorang lelaki membawa sejumlah besar minyak petrol tanpa dokumen sah gagal apabila dia ditahan dalam Operasi Bersepadu Intra/Inter (Op Taring ESSZONE – Op Taring Bravo 1), di perairan daerah ini, semalam.
Dalam operasi itu, pasukan Komtak Mabul Kompeni A Batalion 22 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kunak dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Semporna bertindak hasil maklumat risikan.
Menurut kenyataan Batalion 22 PGA Kunak di Facebook, anggota mengesan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan sebelum memperkenalkan diri sebagai pegawai polis dan menjalankan pemeriksaan ke atas lelaki berkenaan.
“Hasil pemeriksaan mendapati suspek gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.
“Pemeriksaan lanjut ke atas bot menemui 69 gelen berisi minyak petrol serta satu gelen mengandungi campuran petrol dan minyak 2T,” menurut kenyataan itu.
Menurutnya, suspek juga gagal menunjukkan sebarang dokumen kelulusan untuk menyimpan, memiliki atau membawa bahan berkenaan.
Lelaki itu kemudian ditahan bersama semua barang rampasan sebelum diserahkan kepada pihak KPDN Cawangan Semporna untuk tindakan lanjut.
Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan mencecah RM75,000 dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
Batalion 22 PGA Kunak menegaskan akan terus mempergiat risikan dan operasi bagi membanteras kegiatan menyalahi undang-undang di kawasan ESSZONE.
