Remaja didapati bersalah membunuh kekasihnya dan dijatuhi hukuman penjara.
TAWAU: Seorang remaja lelaki warga Indonesia dijatuhkan hukuman penjara oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini selepas didapati bersalah membunuh kekasihnya yang juga rakan senegara di sebuah ladang kelapa sawit di Kalabakan, tiga tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman, Steve Ritikos, memerintahkan tertuduh berusia 16 tahun itu menjalani hukuman penjara sehingga mendapat perkenan Tuan Yang Dipertua Negeri Sabah, selaras dengan Seksyen 97(2)(b) Akta Kanak-Kanak 2001.
Keputusan itu dibuat selepas mahkamah meneliti laporan akhlak yang dikemukakan Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Tawau memandangkan tertuduh masih di bawah umur ketika kejadian sebelum hukuman diputuskan.
Mahkamah turut menegaskan kepentingan awam dan keseriusan jenayah berkenaan mengatasi faktor lain yang dipertimbangkan.
Dalam prosiding itu, mahkamah berpuas hati pembelaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan, sekali gus mensabitkan tertuduh bersalah.
Berdasarkan penilaian keseluruhan bukti, mahkamah mendapati kesalahan jelas menunjukkan tertuduh bertanggungjawab atas kematian mangsa.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang merupakan pemegang pasport Indonesia berusia 13 tahun ketika kejadian didakwa membunuh mangsa, Nur Zahirah Safarudin, 13, antara jam 12.30 tengah hari hingga 2.30 petang pada 4 Januari 2023.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, mangsa ditemukan dalam parit di kawasan ladang berkenaan dengan kesan kecederaan di bahagian kepala.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nisla Abd Latif manakala tertuduh diwakili peguam, Liew Hon Min.
