SANDAKAN: Sebanyak 38,071 pemeriksaan telah dilaksanakan di seluruh negara menerusi Ops Tiris 4.0 Bersepadu bermula 16 Mac hingga 4 Mei 2026, yang membawa kepada pengesanan 506 kes serta penahanan seramai 147 individu.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, daripada keseluruhan kes tersebut, penyelewengan bahan api diesel dan petrol mencatatkan jumlah tertinggi.
Menurut beliau, pecahan kes melibatkan diesel sebanyak 228 kes, diikuti petrol 105 kes, gas petroleum cecair (LPG) 64 kes, minyak masak 57 kes, gula 35 kes dan tepung gandum 16 kes. Beliau berkata demikian ketika sidang media sempena Program Sentuhan Kasih dan Jualan Rahmah Madani yang berlangsung di perkarangan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Jalan Buli Sim-Sim, di sini, pada Selasa.
Mengulas lanjut, Armizan memaklumkan bahawa bagi Sabah, sebanyak 6,108 pemeriksaan telah dijalankan dalam tempoh sama yang menghasilkan 132 kes.Katanya, kes penyelewengan diesel di Sabah mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 48 kes, diikuti petrol sebanyak 37 kes.
Jelas beliau, Ops Tiris 4.0 dilaksanakan secara bersepadu melibatkan pelbagai agensi penguatkuasaan merangkumi tiga sektor utama iaitu daratan, perairan dan sempadan.
Menurutnya, sektor darat diterajui oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), manakala sektor sempadan diketuai oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan sektor perairan dikendalikan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang kedua-duanya di bawah Kementerian Dalam Negeri.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata daripada 506 kes yang direkodkan, sebanyak 223 kes merupakan kes serahan oleh pelbagai agensi penguat kuasa. Katanya, Pasukan Gerakan Am (PGA) mencatatkan jumlah serahan tertinggi iaitu 120 kes, diikuti Pasukan Polis Marin (PPM) sebanyak 61 kes dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebanyak 32 kes.
Turut hadir pada majlis tersebut Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Haji Hajiji Noor. Sementara itu, Hajiji dan Armizan turut menyaksikan penyampaian sumbangan kepada mangsa kebakaran Kampung Bahagia yang disumbangkan oleh badan korporat, syarikat serta agensi di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), selain wakalah zakat Parlimen Sandakan dan sumbangan Bakul Rahmah kepada 100 penerima. Ketua Menteri turut diberi taklimat mengenai status semasa pelaksanaan Ops Tiris 4.0. – DAKWAT RAKYAT POST
