KUDAT: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelaksanaan beberapa inisiatif pembangunan bernilai lebih RM33 juta bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat serta memenuhi keperluan asas penduduk di Pulau Banggi.
Pengumuman itu dibuat ketika beliau berucap di Karakit sempena lawatan kerja ke Pulau Banggi, hari ini.
Menurut Anwar, inisiatif berkenaan melibatkan peruntukan khas Kerajaan MADANI dan Jabatan Perdana Menteri bernilai lebih RM31 juta bagi melaksanakan pelbagai projek infrastruktur asas di pulau berkenaan.
Katanya, sebahagian projek berkenaan telah mula dilaksanakan termasuk kerja naik taraf jalan dan jambatan di beberapa kampung seperti Kampung Limbuak Laut, Kapitangan, Damaran dan Bayangan Laut.
Selain itu, projek lain yang turut diumumkan ialah naik taraf Balai Polis Pulau Banggi, penambahbaikan Klinik Kesihatan Karakit, naik taraf asrama sekolah di Banggi dan Balambangan serta projek keselamatan dan pertahanan negara.
Beliau berkata, kerajaan turut melaksanakan projek naik taraf Jeti Awam Karakit kepada terminal feri bagi meningkatkan kemudahan pengangkutan penduduk.
Dalam pada itu, Anwar turut mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM2.25 juta bagi beberapa projek baharu di Pulau Banggi.
Daripada jumlah itu, RM1.25 juta diperuntukkan untuk program pendidikan, pengupayaan institusi, teknologi hijau, kesihatan dan pembangunan insan di bawah Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Selain itu, RM1 juta lagi diperuntukkan bagi menaik taraf jeti di Kampung Dogoton untuk kegunaan penduduk kampung serta agensi penguatkuasaan.
“Insya-Allah, ikhtiar ini bukan sekadar menambah baik kemudahan asas, tetapi memastikan rakyat di pulau terpencil ini menikmati pembangunan yang lebih adil, selesa dan bermaruah.
“Terpencil tetapi tidak sesekali terpinggir. Itu janji saya,” katanya. – DAKWAT RAKYAT POST
Kredit sumber: Media sosial rasmi Anwar Ibrahim
