KUDAT: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meneruskan lawatan kerja ke Sabah dengan mengunjungi Pos Dogoton di Pulau Banggi bagi meninjau tahap kesiapsiagaan keselamatan di kawasan sempadan Malaysia-Filipina.
Lawatan itu diadakan sejurus beliau selesai menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN di Filipina.
Anwar berkata, Pos Dogoton merupakan antara pos keselamatan hadapan yang berperanan penting dalam menjaga kedaulatan dan keselamatan perairan negara di kawasan utara Sabah.
Menurut beliau, pos berkenaan turut memainkan peranan dalam mengawal ancaman pencerobohan, penyeludupan serta aktiviti jenayah rentas sempadan di perairan berhampiran Filipina.
“Saya diberikan taklimat berkenaan pelaksanaan operasi di sini sebelum dibawa melihat kawasan kepulauan berhampiran serta meninjau pengoperasian radar yang menjadi antara aset penting pemantauan keselamatan di kawasan ini,” katanya.
Beliau berkata, penugasan di kawasan terpencil dengan keadaan muka bumi serta cuaca yang mencabar memerlukan ketahanan mental, disiplin dan semangat juang yang tinggi dalam kalangan anggota keselamatan.
Anwar turut merakamkan penghargaan kepada anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bertugas di Pos Dogoton dalam mempertahankan kedaulatan negara.
“Keteguhan, keberanian dan kesiapsiagaan pasukan dalam mempertahankan setiap inci perairan negara daripada sebarang ancaman adalah lambang pengorbanan yang jarang terlihat, namun menjadi benteng yang memastikan rakyat terus hidup aman dan tenteram,” katanya. – DAKWAT RAKYAT POST
Kredit sumber: Media sosial rasmi Anwar Ibrahim
