KOTA KINABALU: Dua beradik muda dari Sabah memasang impian besar untuk melakar kejayaan dalam arena golf antarabangsa sekali gus membawa nama negeri dan Malaysia ke tahap lebih tinggi dalam sukan berprestij itu.
Pasangan adik-beradik, Khayr Akhtar Ummar Ariff dan Muhammad Yahya Ummar Ariff, mula meminati golf sejak kecil hasil pendedahan dan galakan daripada keluarga terutama bapa mereka yang aktif memperkenalkan sukan berkenaan kepada kedua-duanya.
Khayr Akhtar, 15, kini menuntut di Tingkatan Tiga di Maktab Sabah manakala adiknya, Muhammad Yahya, 12, merupakan murid di SK Sri Gaya.
Terbaharu, kedua-dua pemain golf muda itu berjaya mencipta kejayaan membanggakan apabila masing-masing menjuarai kategori 15 tahun dan 12 tahun dalam Kejohanan Golf Majlis Sukan Sekolah (MSS) Sabah 2026 yang berlangsung di Nexus Karambunai Golf pada Khamis lalu.
Menurut Khayr Akhtar, minatnya terhadap golf semakin mendalam selepas mengagumi pemain bertaraf dunia seperti Rory McIlroy yang menjadi idolanya dari segi teknik pukulan dan gaya putting yang tersendiri.
“Saya juga selalu menonton permainan pemain golf negara seperti Gavin Green dan meminati skil permainan beliau.
“Selain berlatih di padang golf atau driving range, bapa kami, Ummar Ariff, juga sering mengajak kami menonton siaran golf di televisyen yang secara tidak langsung menambahkan minat saya untuk mendalami dan menyertai sukan ini.
“Kami berharap dapat peluang untuk mengharumkan nama Sabah dan negara dalam sukan golf kerana ia merupakan sukan yang diminati ramai di seluruh dunia,” katanya ketika ditemui.
Beliau berkata, golf kini menjadi sebahagian daripada rutin hidupnya walaupun perlu menyesuaikan diri dengan jadual persekolahan yang padat tanpa mengabaikan pelajaran.
“Saya mula bermain golf sejak berusia 11 tahun dan Alhamdulillah, hasil tunjuk ajar jurulatih kami, Helmie Yusof dan Fraser Pook, kami dapat bermain dengan lebih efisien serta menyertai pelbagai kejohanan golf,” katanya.
Dalam kejohanan itu, Khayr Akhtar menjuarai kategori 15 tahun dengan kelebihan enam pukulan selepas mengharungi 36 lubang, manakala Muhammad Yahya mengungguli kategori 12 tahun dengan kelebihan 12 pukulan daripada 36 lubang. – DAKWAT RAKYAT POST
