JIM Sabah senarai hitam 24 warga China dan hantar pulang ke negara asal
KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah melaksanakan penghantaran pulang seramai 24 warganegara China ke negara asal pada 7 Mei 2026 selepas didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Kesemua yang dihantar pulang terdiri daripada 23 lelaki dewasa dan seorang perempuan dewasa, dan mereka telah disenaraihitamkan oleh pihak berkuasa.
Kesemua individu berkenaan merupakan sebahagian daripada hasil tangkapan menerusi Ops Kutip, Ops Mahir dan Ops Sapu yang dijalankan pada 21 April 2026 di daerah Semporna, melibatkan pemeriksaan ke atas 45 individu, dengan 34 warga asing ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah akta dan peraturan sama.
Daripada jumlah 34 yang ditahan, mereka terdiri daripada 33 warganegara China (30 lelaki dewasa dan tiga perempuan dewasa) serta seorang lelaki dewasa warganegara Pakistan yang disiasat di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Hasil siasatan dan pendakwaan pada 4 Mei 2026 membawa kepada keputusan Mahkamah Sesyen Tawau yang melibatkan sembilan PATI warganegara China.
Enam lelaki dewasa warganegara China dituduh di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, manakala dua perempuan dewasa dan seorang lelaki dewasa warganegara China dituduh atas dua kesalahan iaitu di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Enam PATI yang dituduh di bawah Peraturan 39(b) tidak mengaku bersalah dan dibebaskan dengan ikat jamin Mahkamah sehingga kes disebut semula pada 11 Jun 2026, manakala tiga PATI mengaku salah dan membayar denda bagi kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c), serta tiada jaminan diberikan bagi kesalahan di bawah Peraturan 39(b).
Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi membanteras kehadiran Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) serta memastikan pematuhan undang-undang imigresen negara sentiasa dipelihara.
Kredit sumber: Media Sosial Rasmi Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah
