KOTA KINABALU: Markas Pemerintahan Armada Timur (MPAT) menerima Kunjungan Operasi kapal Tentera Laut Pakistan iaitu PNS TAIMUR dan PNS/M HANGOR di Jeti Pangkalan Tentera Laut Kota Kinabalu (TPKK) bermula 8 hingga 11 Mei 2026.
Kunjungan operasi itu dilaksanakan bagi tujuan pengisian bekalan, penyelarasan logistik serta rehat anak kapal sebelum kedua-dua kapal meneruskan pelayaran pulang ke Pakistan.
Kehadiran aset Tentera Laut Pakistan itu turut mencerminkan hubungan pertahanan maritim yang kukuh serta kerjasama profesional berterusan antara angkatan laut kedua-dua negara.
Sepanjang lawatan tersebut, penyelarasan menyeluruh melibatkan Markas Formasi, Bahagian Cawangan dan Unit Bawah Naungan (UBN) telah digerakkan bagi memastikan semua aspek pentadbiran, keselamatan dan operasi dilaksanakan secara teratur, cekap dan profesional mengikut prosedur yang ditetapkan.
Pada masa sama, tahap kesiapsiagaan keselamatan dan langkah kawalan di kawasan Pangkalan Tentera Laut Kota Kinabalu turut dipertingkatkan bagi memastikan rutin harian serta aktiviti operasi berjalan lancar sepanjang keberadaan PNS TAIMUR dan PNS/M HANGOR di Sabah.
Lawatan ini bukan sahaja memperkukuh diplomasi pertahanan serantau dan kerjasama strategik maritim, malah menjadi platform penting dalam meningkatkan hubungan profesional ketenteraan, pertukaran pengetahuan operasi serta persefahaman antara kedua-dua angkatan laut. – DAKWAT RAKYAT POST
Kredit sumber: Media sosial rasmi Markas Pemerintahan Armada Timur
