Program Misi Sukarelawan: Kembara Anak Watan ke Sabah (KEWASA) 4.0 berjaya dilaksanakan bermula 30 April hingga 6 Mei 2026 melibatkan penyertaan seramai 30 sukarelawan daripada Kolej Tun Hussein Onn (KTHO), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Program bertemakan “Sukarelawan Membina Komuniti Daya Tahan” itu dianjurkan bagi melahirkan pemimpin sukarelawan yang holistik menerusi pelaksanaan program komuniti berimpak tinggi.
KEWASA 4.0 merupakan kesinambungan daripada siri terdahulu iaitu Kembara Anak Watan ke Sabah (KEWASA 1.0), Kembara Anak Watan ke Sarawak (KEWASA 2.0) dan Kembara Anak Watan ke Sabah (KEWASA 3.0) yang sebelum ini memberi impak positif kepada komuniti setempat dan pembangunan mahasiswa.
Program itu dipimpin Ketua Pengarah Program, Saudara Daniel Loy dengan bimbingan Felo Penasihat, Encik Izzat Ebrahim.
Sepanjang tujuh hari pelaksanaan program, para sukarelawan menjalankan pelbagai aktiviti berbentuk pendidikan, kebudayaan, kesukarelawanan dan pembangunan komuniti di Kampung Lormalong serta Sekolah Kebangsaan Madai di Kunak, selain Rumah Ngaji Anak Asnaf dan SMK Bugaya II di Semporna.
Melalui program berkenaan, peserta didedahkan kepada pengurusan program khidmat komuniti berimpak tinggi selain memperkukuh jaringan kerjasama strategik bersama pelbagai pihak kerajaan, komuniti setempat dan badan bukan kerajaan.
Di Kampung Lormalong, sukarelawan mengikuti program keluarga angkat bersama penduduk kampung selain melaksanakan aktiviti gotong-royong serta program rewang dan BBQ bersama komuniti setempat yang ditaja Sekretariat KEWASA.
Turut diadakan sesi “Kopi Chat: Isu Setempat dan Masa Depan Kampung” bersama wakil Ketua Menteri Sabah, Datuk Norazlinah yang membincangkan isu pembangunan dan masa depan komuniti. Program itu turut dihadiri Pengetua Kolej Tun Hussein Onn, Prof. Madya P.Geol Ts. Dr. Mohd Hariri Arifin.
Selain itu, sesi Bicara Kecerdasan Buatan (AI) bersama Saudara Fikri turut diadakan bagi memberi pendedahan kepada penduduk kampung mengenai teknologi dan kepentingan AI dalam kehidupan masa kini.
Sebagai simbol perpaduan budaya, Malam Kebudayaan Silang Budaya dianjurkan dengan persembahan tarian Sumazau dan Dikir Barat oleh sekretariat KEWASA, manakala penduduk kampung mempersembahkan tarian tradisional Igal-Igal dan Manuk-Manuk.
Di Sekolah Kebangsaan Madai pula, sukarelawan melaksanakan pelbagai aktiviti pendidikan termasuk Bicara AI dalam pendidikan khas buat guru sekolah, aktiviti Eksplorasi STEM untuk murid Tahun 6 serta slot motivasi bersama Saudara Awliya.
Program turut diperluaskan ke Maahad Tahfiz Ashabul Yamin menerusi penyerahan sumbangan al-Quran daripada Kompleks Nasyrul Quran kepada pelajar tahfiz selain sesi motivasi khas buat para huffaz.
Sementara itu, di Rumah Ngaji Anak Asnaf Semporna, sukarelawan mengadakan pertandingan membaca dan mewarna selain menyampaikan bantuan seperti baju KEWASA dan mainan kepada anak-anak asnaf.
Program diteruskan di SMK Bugaya II menerusi aktiviti Eksplorasi STEM bersama pelajar Tingkatan 3, sesi mentor mentee bersama pelajar Tingkatan 5 serta penghasilan Mural STEM sebagai simbol legasi program di sekolah berkenaan.
Pihak penganjur turut merakamkan penghargaan kepada semua penaja dan rakan strategik termasuk Yayasan MR. DIY, Rainbow Girls, Zakat UKM, Yayasan Canselor, KMUKM, Hiruscar, Ai-CHA, Berjaya Times Square Theme Park, Nasyrul Quran dan AZ Printing atas sokongan menjayakan program itu.
Secara keseluruhannya, KEWASA 4.0 berjaya mencapai objektif dalam memperkasa semangat kesukarelawanan, memupuk kesedaran sosial serta membina hubungan erat antara mahasiswa dan komuniti Sabah.
“Menjunjung Semangat Sukarelawan, Menyantuni Komuniti, Memperkasa Anak Watan.” – DAKWAT RAKYAT POST
