DATUK RINA HAJI JAINAL
TAWAU: Sambutan Hari Ibu bukan sekadar meraikan pengorbanan golongan ibu, sebaliknya perlu dijadikan platform memperkasa wanita sebagai penggerak utama pembangunan keluarga, ekonomi dan masyarakat.
Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Rina Haji Jainal berkata, wanita hari ini tidak lagi hanya dilihat sebagai penyokong di belakang tabir, tetapi memainkan peranan penting sebagai pemimpin, pencipta peluang ekonomi, pendidik generasi dan suara penting dalam menentukan masa depan negeri.
Katanya, konsep ’empowering women’ dalam sambutan Hari Ibu perlu diterjemahkan melalui usaha memperkukuh keyakinan wanita untuk berdikari dan berjaya dalam pelbagai bidang.
“Wanita perlu diberikan lebih banyak peluang ekonomi dan latihan kemahiran supaya mereka mampu meningkatkan taraf hidup keluarga serta keluar daripada belenggu kemiskinan.
“Selain itu, penglibatan wanita dalam kepimpinan komuniti dan politik juga perlu diperkasakan agar suara mereka terus didengari dalam proses pembangunan negeri,” katanya dalam kenyataan sempena sambutan Hari Ibu, semalam.
Rina berkata, jaringan sokongan sesama wanita juga penting bagi memastikan tiada golongan wanita tercicir daripada arus pembangunan.
Menurutnya, Sabah masih berhadapan jurang ekonomi yang besar selain kadar penglibatan wanita dalam kepimpinan yang masih rendah walaupun wanita di negeri itu mempunyai potensi serta daya tahan luar biasa.
“Wanita Sabah memiliki kekuatan dan kemampuan besar untuk menjadi agen perubahan dalam masyarakat jika diberi ruang dan peluang sewajarnya,” katanya.
Beliau berkata, usaha memperkasa wanita itu diterjemahkan menerusi gerak kerja Kelab Kebajikan Komuniti Rina Jainal bersama Skuad Wanita Harapan Sabah melalui pelbagai program bantuan komuniti, pembangunan wanita akar umbi serta usaha membuka lebih banyak ruang kepimpinan kepada wanita.
“Apabila seorang wanita diperkasakan, sebuah keluarga akan menjadi lebih kuat. Dan apabila ramai wanita bangkit bersama, sebuah negeri akan bergerak lebih maju,” katanya.
