KOTA KINABALU: Tindakan sebuah akaun TikTok dikenali sebagai “Arbaatampung@marahajasakul” yang didakwa memuat naik berita palsu mengenai kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan, Munirah Isnaraissah Majilis disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab, melampau dan tidak bermoral.
Menerusi satu kenyataan media bertarikh 10 Mei 2026, Atan Leecas berkata penyebaran berita palsu berkaitan nyawa dan kematian seseorang bukan sahaja mencetuskan keresahan rakyat, malah memberi kesan emosi kepada keluarga, sahabat dan masyarakat yang mengenali individu terbabit.
Menurutnya, politik tidak seharusnya dijadikan platform untuk memainkan isu kematian demi perhatian, provokasi atau kepentingan tertentu. Dalam kenyataan sama, beliau turut menyuarakan kekesalan terhadap tindakan sebuah page Facebook dikenali sebagai “Mawar Channel” yang didakwa tergesa-gesa menuduh kononnya berita palsu tersebut dilakukan oleh pendokong kerajaan GRS.
Beliau mempersoalkan sama ada sudah terdapat pengesahan rasmi daripada pihak polis bahawa akaun TikTok berkenaan benar-benar milik penyokong kerajaan GRS atau sekadar tuduhan tanpa bukti kukuh. Katanya, sekiranya benar Parti Warisan Sabah telah membuat laporan polis, maka semua pihak perlu memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan secara profesional dan telus tanpa mendahului hasil siasatan dengan membuat “hukuman politik”.
Menurut beliau lagi, kemungkinan akaun TikTok tersebut merupakan akaun palsu yang diwujudkan untuk melaga-lagakan masyarakat dan pemimpin juga tidak boleh diketepikan. Beliau berkata, penggunaan nama serta gambar individu lain sebagai taktik “reverse psychology” bagi mencetuskan kebencian antara penyokong WARISAN dan GRS juga berkemungkinan berlaku memandangkan akaun palsu dan penyamaran identiti mudah diwujudkan di media sosial ketika ini.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak supaya menghentikan budaya fitnah, provokasi dan tuduhan melulu selain menghormati proses siasatan polis sebelum membuat sebarang Kesimpulannya. Katanya, politik seharusnya dilaksanakan secara matang, berfakta dan bertanggungjawab tanpa menjadikan berita palsu sebagai senjata yang boleh merosakkan keharmonian rakyat dan mencemarkan demokrasi. – DAKWAT RAKYAT POST
