KOTA KINABALU: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah terus memperkukuh penguatkuasaan dalam usaha membanteras aktiviti penyeludupan dan penyelewengan barang kawalan di negeri ini menerusi pelaksanaan Op Tiris 4.0.
Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner (ACP) Ahmad Amri Abd Rahman berkata, bagi tempoh Januari hingga April 2026, pihaknya merekodkan sebanyak 994 kes melibatkan pelbagai jenis kesalahan dengan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM51,811,372.79.
Menurut beliau, daripada jumlah itu, Op Tiris 4.0 mencatatkan nilai rampasan sebanyak RM20,660,390.50 termasuk barang kawalan, kenderaan serta peralatan yang digunakan dalam kegiatan penyeludupan.
“Sepanjang tempoh tersebut, sebanyak 54 kes berkaitan Op Tiris 4.0 telah direkodkan dengan 53 tangkapan berjaya dibuat termasuk 13 warga asing.
“Kes tertinggi melibatkan penyeludupan minyak subsidi petrol dan diesel dengan 43 kes direkodkan melibatkan 46 tangkapan termasuk 10 warga asing,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, jumlah rampasan bahan api subsidi dianggarkan bernilai RM1,163,766.30 melibatkan sebanyak 225,635 liter diesel dan petrol. Selain itu katanya, sebanyak 11 kes turut direkodkan melibatkan barang kawalan lain seperti minyak masak, gula dan tong gas LPG dengan nilai rampasan keseluruhan sebanyak RM30,399.50.
“PPM Wilayah 4 Sabah akan terus memperhebat operasi dan penguatkuasaan bagi mengekang aktiviti penyeludupan demi memastikan keselamatan serta kestabilan ekonomi negara terus terpelihara,” katanya. – DAKWAT RAKYAT POST
