TAWAU: Kerajaan Persekutuan diminta mempercepat pelaksanaan projek perumahan rakyat di Tawau bagi membantu penduduk yang masih tinggal di kawasan berisiko tinggi kebakaran khususnya penempatan padat dan kawasan setinggan.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, kerajaan negeri sudah mengenal pasti kawasan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Apas bagi cadangan pembinaan 1,000 unit rumah rakyat.
Menurutnya, cadangan projek berkenaan telah dikemukakan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan kini sedang menunggu kelulusan peruntukan.
Katanya, inisiatif itu turut mendapat sokongan penuh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor serta Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah (KKTP).
Bagaimanapun, buat masa ini mangsa yang layak dan terkesan termasuk mangsa kebakaran boleh memohon Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) yang disediakan kerajaan negeri tertakluk kepada syarat dan kelayakan ditetapkan.
“Sekiranya ada di antara mereka ingin membuat permohonan rumah SMJ yang disediakan oleh kerajaan maka mereka bolehlah memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan dan insyaAllah kami sebagai wakil rakyat akan sentiasa berusaha untuk membantu mereka,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata demikian ketika ditemui selepas Program Penyerahan Bantuan Prihatin Mangsa Kebakaran Tawau di Majlis Perbandaran Tawau, pada Sabtu.
Dalam majlis itu, Nizam turut menyampaikan bantuan kepada 20 ketua isi rumah membabitkan mangsa kebakaran di kawasan DUN Apas dan Tanjung Batu menerusi Yayasan Kebajikan Sabah.
Menurutnya, bantuan berkenaan diharap dapat meringankan beban mangsa selain memberi semangat kepada mereka untuk meneruskan kehidupan selepas ditimpa musibah. – DAKWAT RAKYAT POST
