Kira-kira 1,000 penduduk Ranggu berhimpun berhimpun secara aman bagi menggesa pihak pemaju membuka semula laluan rizab yang menghubungkan BSI.
TAWAU: Kira-kira 1,000 penduduk Ranggu, di sini, berhimpun secara aman bagi menggesa pihak pemaju membuka semula laluan rizab yang menghubungkan kawasan perumahan itu dengan Bandar Sri Indah serta sekitarnya dengan memberi tempoh satu bulan bermula hari ini.
Perhimpunan itu dibuat selepas mendakwa laluan berkenaan ditutup semula oleh pihak pemaju selepas menerima bantahan daripada penduduk BSI.
Wakil penduduk, Vincent Ong, 37, berkata, tempoh itu diberikan bagi membolehkan pihak pemaju iaitu Hap Seng Properties Development Sdn Bhd mengambil tindakan sewajarnya atau tampil mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung status sebenar laluan yang menjadi pertikaian.
Beliau berkata, penduduk tidak mahu isu itu terus berlarutan tanpa penyelesaian terutama selepas wujud dakwaan kononnya mereka menceroboh kawasan pemaju ketika membuka laluan berkenaan.
“Sehari sebelum laluan pintas itu dibuka, saya sudah buat laporan polis untuk memaklumkan perkara itu. Namun, tidak sampai empat jam pihak pemaju menutup semula jalan berkenaan sedangkan jalan itu adalah laluan rizab.
“Jadi kita bagi tempoh sebulan kepada pihak pemaju untuk buka jalan itu dalam tempoh sebulan bermula hari ini. Jika tiada tindakan, saya sebagai orang awam akan menggunakan memampuan (kewangan) sendiri untuk membuka jalan itu,” katanya ketika ditemui ketika perhimpunan awam, di sini hari ini.
Perhimpunan itu berlangsung dalam keadaan terkawal dan turut dipantau oleh anggota polis.
Vincent berkata, tindakan mereka membuka laluan pintas berkenaan sebelum ini bukan dibuat secara “suka-suka” tetapi dilampirkan dengan dokumen sokongan daripada pihak Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) dan Majlis Perbandaran Tawau (MPT) yang dikeluarkan pada tahun 2019 dan 2020.
Katanya, dokumen berkenaan didakwa menunjukkan tiada halangan untuk membuka dan memajukan kawasan simpanan jalan itu, dengan syarat ia dibina dalam kawasan bertanda rizab jalan.
“Intipati dalam surat JTU menyatakan apabila jalan itu siap, ia hendaklah dibuka kepada orang awam manakala surat daripada MPT dimana pihak mereka tidak menghalang untuk membuka jalan yang menghubungkan kedua-dua perumahan berkenaan kerana ia merupakan jalan rizab.
“Setakat hari ini, kami dimaklumkan tiada surat bantahan baharu terhadap dokumen berkenaan. Jadi bagi kami surat itu masih boleh diguna pakai,” katanya.
Sementara itu, beberapa penduduk yang hadir dalam perhimpunan aman itu bersetuju supaya laluan pintas berkenaan dibuka untuk manfaat bersama.
Mariam Saad, 40, berkata, laluan berkenaan mampu melonjakkan sektor ekonomi dan kegunaan ketika kecemasan.
“Laluan berkenaan amat penting terutama ketika kecemasan kerana perjalanan yang sepatutnya mengambil masa kira-kira lima hingga 10 minit boleh menjadi sehingga setengah jam jika menggunakan laluan sedia ada.
“Kawasan BSI ini banyak klinik. Jadi saya harap jalan ini dibuka kerana ia sangat penting terutama kalau ada kecemasan, anak sakit atau orang tua memerlukan rawatan.
“Di BSI juga ada jualan setiap hari Selasa. Jadi di situlah tempat kami membeli barang keperluan harian.
“Kita tidak boleh cakap kalau jalan ini dibuka, jenayah akan meningkat sebab jenayah ada dimana-mana. Kita tak boleh cakap begitu sebab jenayah ni walaupun kita tak buka jalan ni, jenayah tetap akan berlaku pun. Jadi haraplah semua pihak-pihak yang berwajib dapat dengar keluhan rakyat Ranggu ini,” jelasnya.
Seorang lagi penduduk, Reduanshah Apsal, 36, turut merayu wakil rakyat, pihak berkuasa tempatan dan agensi berkaitan turun padang bagi mencari penyelesaian bersama antara penduduk, pemaju dan komuniti terbabit.
“Pembukaan laluan ini dapat juga memudahkan terutama ketika berlakunya kecemasan. Saya tidak mahu perkara sama berulang dimana saya pernah melihat jiran saya yang menghidap strok ringan akhirnya meninggal dunia di depan mata saya selepas menunggu ketibaan kenderaan ambulan untuk dihantar ke Hospital Tawau. Hal ini disebabkan jalan utama yang terlalu jauh yang terpaksa dilalui ambulan ketika itu.
“Saya harap wakil rakyat untuk menjadi orang tengah bagi mencari jalan kepada kami untuk melibatkan mana-mana pihak, jabatan kerajaan, ataupun agensi kerajaan, termasuklah pihak pemaju untuk menjadi orang tengah menyelesaikan hal ini. Kita undi kamu untuk menjadi wakil kami untuk bersuara menolong kami.
Dalam perkembangan sama, Ahli Parlimen Tawau, Datuk Lo Su Fui ketika ditemui meminta semua pihak yang terbabit dalam isu penutupan jalan berkenaan supaya bertenang dan tidak bertindak mengikut emosi, sebaliknya menyerahkan perkara itu diselesaikan mengikut lunas undang-undang.
“Ini bukan soal siapa lebih ramai atau siapa lebih kuat bersuara. Perkara ini mesti ada garis panduan dan rujukan iaitu undang-undang.
“Sebaiknya pihak penguat kuasa seperti JTU mengadakan sesi dialog bersama semua pihak bagi memberi penjelasan, supaya tidak timbul kekeliruan dan perselisihan faham,” katanya.
