KOTA KINABALU, 22 Mei 2026 – University College Sabah Foundation (UCSF) terus memperkukuh peranannya sebagai institusi pendidikan tinggi milik kerajaan negeri apabila mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor di pejabatnya di Menara Kinabalu, pada Khamis.
Delegasi UCSF diketuai Pengerusi Lembaga Pengarah dan Lembaga Pengelola UCSF, Mohd Yaakub Johari bersama Naib Canselor UCSF, Rafiq Idris.
Dalam kunjungan itu, Hajiji yang juga Canselor UCSF diberi taklimat mengenai perkembangan semasa universiti berkenaan termasuk pencapaian akademik, peningkatan enrolmen pelajar, pengukuhan aktiviti penyelidikan serta hala tuju strategik institusi pendidikan tinggi terbabit.
Turut dibentangkan usaha berterusan universiti itu dalam memperbaiki dan memperkukuhkan tadbir urus institusi secara berterusan.
Menurut Rafiq, ambilan Julai 2025 mencatat sejarah tersendiri apabila merekodkan pengambilan tertinggi sejak penubuhan UCSF, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan pelajar aktif universiti itu melepasi 1,100 orang pada tahun 2025.
Katanya, sebagai usaha memperluas bidang pengajian selaras dengan keperluan pembangunan negeri dan permintaan pasaran semasa, UCSF turut memperkenalkan tiga program baharu iaitu Ijazah Sarjana Muda Seni Bina, Master of Business Administration (MBA) dan Foundation in Science.
“Selain perkembangan akademik, UCSF turut membentangkan pelbagai inisiatif penyelidikan dan intelektual yang sedang dilaksanakan termasuk penerbitan ilmiah, penganjuran intellectual discourse berkaitan isu semasa, siri syarahan, seminar serta persidangan akademik,” katanya ketika ditemui.
Beliau berkata, universiti itu juga memaklumkan penglibatan aktif sebahagian penyelidiknya bersama Centre for Development Studies serta melalui fakulti masing-masing dalam aktiviti penyelidikan dan penyediaan policy brief kepada kerajaan negeri.
Katanya, usaha itu diharapkan dapat membantu memberikan input positif dalam proses perancangan dan penggubalan dasar pembangunan Sabah.
Menurutnya lagi, UCSF turut mengemukakan cadangan beberapa kursus strategik baharu yang dilihat mampu memenuhi keperluan pembangunan Sabah pada masa depan, khususnya dalam melahirkan modal insan berkemahiran dan berdaya saing.
“Pada masa sama, pihak universiti turut memohon perkenan Hajiji bagi penetapan tarikh Majlis Konvokesyen UCSF yang dijadualkan berlangsung pada 8 Ogos 2026,” katanya.
Sementara itu, Rafiq berkata Ketua Menteri menyambut baik perkembangan positif UCSF dan menegaskan universiti berkenaan merupakan institusi milik penuh kerajaan negeri yang memainkan peranan penting dalam pembangunan modal insan di Sabah.
Hajiji berkata, UCSF bukan sebuah entiti berorientasikan keuntungan, sebaliknya memberi fokus kepada usaha melahirkan modal insan berkualiti bagi memenuhi keperluan pembangunan negeri.
“Kerajaan negeri memberi sokongan penuh terhadap semua aktiviti bermanfaat yang dilaksanakan oleh UCSF demi memperkukuh sektor pendidikan tinggi serta melahirkan lebih ramai graduan berkualiti bagi menyokong agenda pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ),” katanya. – DAKWAT RAKYAT POST
