KOTA KINABALU, 26 Mei 2026 – Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), Datuk Haji Nizam DSP Haji Abu Bakar Titingan menegaskan dakwaan yang disiarkan oleh MAWAR Channel berhubung Projek Ammonia dan Urea Sabah (SAMUR) di Sipitang adalah tidak benar serta mengelirukan rakyat.
Menurut beliau, kenyataan dan poster yang disebarkan menerusi Facebook itu mengandungi dakwaan mengelirukan terhadap Kerajaan Negeri Sabah, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor serta pengurusan hasil minyak dan gas negeri.
Beliau berkata, dakwaan kononnya ammonia dan urea dari Sabah dihantar ke Semenanjung Malaysia untuk diproses menjadi baja adalah tidak tepat kerana loji SAMUR di Sipitang merupakan antara loji pengeluaran baja urea terbesar di Asia Tenggara.
“Baja urea yang dihasilkan adalah produk siap yang diproses sepenuhnya di bumi Sabah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Nizam turut mempersoalkan tindakan MAWAR Channel yang memaparkan gambar Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima Musa Aman dalam bahan politik yang disifatkan berunsur fitnah.
Katanya, institusi Yang di-Pertua Negeri Sabah perlu dihormati sebagai institusi negeri yang berada di atas politik kepartian dan tidak sepatutnya diheret ke dalam propaganda politik.
Sehubungan itu, beliau memaklumkan bahawa kandungan tulisan dan poster berkenaan akan dirujuk kepada peguam bagi tindakan undang-undang selanjutnya.
“Kebebasan bersuara bukan lesen untuk memfitnah, memanipulasi fakta, mencemar nama baik pemimpin Kerajaan Negeri atau menyeret imej institusi negeri dalam kempen politik yang tidak bertanggungjawab,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa Sabah kini mempunyai penyertaan lebih kukuh dalam industri minyak dan gas menerusi SMJ Energy yang memiliki 25 peratus pegangan ekuiti dalam loji SAMUR.
Menurutnya, penyertaan itu membolehkan Sabah menerima manfaat secara langsung melalui keuntungan, dividen dan hasil jualan produk baja yang dihasilkan.
“Hasil ini dapat disalurkan kembali bagi membiayai pembangunan negeri dan memperkukuh kedudukan ekonomi Sabah,” katanya.
Beliau berkata, wakil SMJ Energy juga mempunyai kedudukan dalam struktur tadbir urus syarikat berkaitan sekali gus memberi ruang kepada Sabah untuk terlibat secara lebih langsung dalam hala tuju korporat, peluang pekerjaan, penyertaan tempatan dan sumbangan ekonomi daripada aset strategik tersebut.
Nizam berkata, baja urea yang dihasilkan di SAMUR dipasarkan ke pasaran antarabangsa dan dalam negara berdasarkan pertimbangan komersial bagi memaksimumkan pulangan.
“Maka tuduhan kononnya Sabah hanya menjadi mangsa atau tidak mendapat manfaat adalah tidak tepat dan sengaja mengelirukan,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa pembangunan industri baja, petrokimia serta minyak dan gas memerlukan pertimbangan menyeluruh termasuk aspek pasaran, modal, teknologi, logistik, tenaga kerja mahir dan daya maju industri.
Pada masa sama, beliau turut membidas pihak yang cuba mengangkat Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai pemimpin paling tegas mempertahankan hasil Sabah.
Katanya, ketika memegang jawatan Ketua Menteri Sabah, pendekatan berhubung penyertaan komersial negeri dalam aset minyak dan gas tidak diterjemahkan secara menyeluruh kepada struktur pemilikan serta hasil nyata untuk Sabah.
“Rakyat perlu menilai berdasarkan hasil, bukan sekadar nostalgia politik dan ucapan yang sedap didengar,” katanya.
Beliau berkata, Kerajaan GRS tidak pernah menolak usaha memperkukuh industri hiliran di Sabah dan komited meningkatkan penyertaan negeri dalam rantaian nilai minyak dan gas secara berperingkat serta realistik.
Nizam turut menyeru MAWAR Channel supaya menarik balik tulisan dan poster berkenaan, menghentikan penyebaran dakwaan mengelirukan serta memohon maaf atas tindakan mengheret imej Yang di-Pertua Negeri Sabah dalam propaganda politik.
“Sekiranya fitnah seperti ini terus dimainkan, tindakan undang-undang akan menjadi pilihan yang wajar bagi mempertahankan kebenaran dan maruah kepimpinan Kerajaan Negeri,” katanya.
Beliau menegaskan Sabah tidak akan maju dengan politik fitnah, sebaliknya memerlukan kestabilan, kebijaksanaan mengurus aset serta kepimpinan yang mengutamakan hasil berbanding slogan politik. – DAKWAT RAKYAT POST
