Sempena kemeriahan sambutan Pesta Kaamatan tahun ini, syarikat penerbitan muzik tempatan AJ Productions kembali memeriahkan industri hiburan Sabah menerusi penerbitan beberapa karya istimewa yang mengetengahkan identiti budaya, semangat perpaduan serta keunikan warisan masyarakat Borneo.
Deretan lagu yang diterbitkan khas sepanjang musim Kaamatan kali ini bukan sahaja tampil sebagai hiburan kepada pendengar, malah menjadi platform penting dalam memperkukuhkan kedudukan muzik tempatan Sabah di persada industri muzik semasa.
Antara karya yang mencuri perhatian ialah lagu “Montok Tadau Kaamatan” nyanyian Nic O’ Niel yang hadir dengan nuansa ceria, santai dan penuh semangat perayaan. Lagu ini menampilkan melodi ciptaan Kaynizam Maskor manakala liriknya ditulis sendiri oleh Nic O’ Niel.
Nic yang sebelum ini dikenali menerusi lagu debut “Hadirmu Kasih” bersama Asmi Andi Yakin kini tampil dengan single baharu di tengah kehangatan sambutan Pesta Kaamatan tahun ini. Karya tersebut menggambarkan kegembiraan masyarakat Sabah meraikan Kaamatan bersama keluarga, sahabat handai dan komuniti setempat. Irama yang mudah melekat serta dekat dengan jiwa pendengar menjadikan lagu ini antara karya yang cukup sinonim dengan suasana Kaamatan masa kini.
Turut menghangatkan musim perayaan ialah lagu “Guyang Kaamatan” nyanyian Rich yang tampil dengan rentak lebih rancak dan menghiburkan. Selari dengan tajuknya, lagu itu membawa mesej kegembiraan serta mengajak masyarakat menikmati kemeriahan sambutan Kaamatan bersama-sama.
Gabungan elemen muzik moden bersama sentuhan identiti tempatan menjadikan karya berkenaan antara lagu yang berpotensi menjadi pilihan utama sepanjang musim perayaan tahun ini.
Dalam pada itu, Calrice John Matha bersama Andrew Poninting turut tampil dengan versi baharu lagu malar segar “Tondu Unduk Ngadau”. Lagu ciptaan Jasnie Mohd Yaakub dengan lirik oleh Datuk Illyas Ibrahim itu sebelum ini pernah dipopularkan oleh Donna Masidah dan sememangnya cukup dekat di hati peminat muzik tempatan.
Versi terkini lagu tersebut diberikan susunan muzik lebih moden tanpa menghilangkan keindahan serta nilai sentimental karya asalnya. Gabungan vokal Calrice dan Andrew pula berjaya membawa elemen nostalgia selain menzahirkan penghormatan terhadap budaya Kadazandusun yang sinonim dengan sambutan Kaamatan.
Tidak ketinggalan, bekas juara Sugandoi 2023, Jill Gaisah turut memeriahkan musim Kaamatan menerusi lagu “Kaubusanan Kaamatan”. Lagu hasil karya Jasnie Mohd Yaakub dan Lydia Kalidin itu sebelum ini pernah dipersembahkan oleh Auni Nabilla.
Namun, versi baharu yang dibawakan Jill tampil dengan sentuhan lebih segar menerusi vokal lembut dan penuh emosi. Lagu tersebut mengetengahkan elemen kerinduan terhadap kampung halaman, budaya serta memori Kaamatan yang sentiasa dirindui setiap kali tibanya bulan Mei.
Menurut AJ Productions, penerbitan karya-karya ini bukan sekadar bertujuan memberikan hiburan kepada masyarakat, tetapi juga sebagai usaha berterusan dalam mengangkat martabat muzik tempatan Sabah agar terus berkembang, relevan dan mampu menembusi pasaran yang lebih luas.
Pada masa sama, karya-karya lama yang mempunyai nilai sentimental turut diberikan nafas baharu menerusi susunan muzik lebih kontemporari bagi memastikan ia terus dekat dengan generasi muda masa kini.
Dengan kehadiran pelbagai karya baharu daripada artis-artis tempatan Sabah, sambutan Pesta Kaamatan tahun ini dilihat lebih meriah dan berwarna-warni.
Diharapkan lagu-lagu terbitan khas musim Kaamatan ini akan terus mendapat tempat di hati pendengar serta menjadi antara soundtrack utama sepanjang sambutan perayaan tersebut.
Selamat Menyambut Pesta Kaamatan dan Kotobian Tadau Tagazo Do Kaamatan.
