KINABATANGAN: Jalan utama yang menghubungkan Sandakan dengan Lahad Datu di kawasan WP25 Sukau dilaporkan runtuh awal pagi tadi, sekali gus menjejaskan ribuan pengguna jalan raya termasuk mereka yang dalam perjalanan pulang ke kampung serta urusan harian di Pantai Timur Sabah.
Kejadian itu turut menyebabkan aliran trafik terganggu dan memaksa pengguna jalan raya memperlahankan kenderaan ketika melalui kawasan terjejas demi keselamatan.
Pegawai Daerah Kinabatangan, Suhaimi Ejip ketika dihubungi mengesahkan insiden berkenaan dan memaklumkan bahawa pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) daerah telah diarahkan untuk segera menjalankan pemeriksaan bagi mengenal pasti punca kejadian.
Menurut beliau, tindakan awal termasuk pemantauan struktur jalan serta langkah penyelesaian segera sedang diambil bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih buruk.
“Kita telah meminta pihak JKR untuk turun padang dan mengambil tindakan sewajarnya secepat mungkin. Pengguna jalan raya juga dinasihatkan supaya lebih berhati-hati ketika melalui kawasan ini,” katanya.
Beliau turut meminta orang ramai bersabar dengan kesulitan yang berlaku memandangkan laluan tersebut merupakan antara jalan utama yang penting di Sabah.
Jalan Sukau dalam daerah Kinabatangan menjadi penghubung utama antara Sandakan dan Lahad Datu selain menghubungkan Pantai Barat serta Pantai Timur Sabah.
Laluan itu juga merupakan sebahagian daripada jajaran projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah yang sedang giat dilaksanakan bagi meningkatkan jaringan pengangkutan dan pembangunan ekonomi negeri.
Terdahulu, kejadian runtuhan jalan turut dilaporkan berlaku di kawasan Silam, Lahad Datu yang dipercayai berpunca daripada keadaan tanah mendap serta struktur tanah yang tidak stabil.
Insiden terbaharu ini sekali lagi mencetuskan kebimbangan pengguna jalan raya terhadap tahap keselamatan infrastruktur jalan di beberapa kawasan di Pantai Timur Sabah terutama ketika cuaca tidak menentu.
Setakat ini, tiada laporan kemalangan jiwa dilaporkan berkaitan kejadian tersebut, namun pengguna dinasihatkan untuk sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa dan mendapatkan maklumat terkini sebelum menggunakan laluan berkenaan. – DAKWAT RAKYAT POST
