MRSM Tun Musa Aman
KOTA KINABALU, 25 Mei 2026 – Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Wira Dr Asyraf Wajdi Dusuki hari ini mengadakan kunjungan hormat ke atas Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Musa Haji Aman di Istana Seri Kinabalu.
Beliau diiringi Ketua Pengarah MARA, Dato’ Zulfikri Osman; Timbalan Pengarah Bahagian Pendidikan MARA, Encik Sahrizal Mohd Saderi; serta Pengarah MARA Sabah, Dr Shahrizin Abdul Sharhadat.
Dalam pertemuan tersebut, Dr Asyraf memaklumkan bahawa kunjungan berkenaan bertujuan menyampaikan hasrat MARA untuk menamakan semula Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kinarut sebagai MRSM Tun Musa Aman.
Menurut beliau, cadangan itu turut dizahirkan bagi pihak Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sebagai tanda penghargaan terhadap peranan dan sumbangan besar Tun Musa dalam pembangunan pendidikan di Sabah.
Beliau berkata, penamaan semula MRSM Kinarut itu merupakan satu pengiktirafan bermakna terhadap jasa serta komitmen Tun Musa dalam memperkukuh pembangunan pendidikan dan modal insan di negeri berkenaan.
Upacara pemasyhuran pertukaran nama MRSM tersebut dijangka akan berlangsung dalam masa terdekat. – DAKWAT RAKYAT POST
