kUALA LUMPUR, 5 JUN 2026 – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, menzahirkan nasihat kepada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu, Abdul Halim Aman, supaya melaksanakan amanah yang dipikul dengan penuh integriti dalam memperkukuh usaha membanteras rasuah di negara ini.
Nasihat itu dizahirkan ketika Seri Paduka Baginda berkenan menerima mengadap Abdul Halim di Istana Negara, semalam.
Sultan Ibrahim turut bertitah bahawa usaha membanteras rasuah hendaklah dilaksanakan secara berterusan, tegas dan tanpa pilih kasih demi memastikan integriti serta kedaulatan undang-undang sentiasa terpelihara.
Abdul Halim dilantik menerajui SPRM berkuat kuasa pada 13 Mei lalu bagi menggantikan Azam Baki.
Pertemuan antara Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu dengan Seri Paduka Baginda berlangsung di Istana Negara, Kuala Lumpur pada 4 Jun.
Terdahulu, pelantikan Abdul Halim sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM dilihat sebagai kesinambungan usaha memperkukuh peranan agensi berkenaan dalam memerangi rasuah serta meningkatkan tahap integriti dalam perkhidmatan awam dan pentadbiran negara.
Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa agenda membanteras rasuah perlu terus diperkasakan bagi memastikan keyakinan rakyat terhadap institusi negara sentiasa terpelihara serta kedaulatan undang-undang dapat ditegakkan dengan berkesan. – DAKWAT RAKYAT POST
