PUTRAJAYA: Kerajaan membenarkan sehingga RM50 juta daripada Dana Program Berimpak Tinggi Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) digunakan bagi memperkukuh pelaksanaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) 2.0.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan itu akan digunakan untuk memperluas program latihan, pendedahan industri serta meningkatkan kualiti pembangunan kemahiran bagi memastikan tenaga kerja negara memenuhi kehendak pasaran semasa dan masa depan.
“Saya tegaskan semula bahawa kerajaan membenarkan sehingga RM50 juta daripada Dana Program Berimpak Tinggi PTPK digunakan untuk TVET 2.0.
“Bagaimanapun, syaratnya ialah majikan dan pihak industri perlu bekerjasama dengan kerajaan, khususnya melalui Majlis TVET Negara, supaya wujud penyelarasan yang lebih berkesan dalam menjayakan agenda ini,” katanya.
Perdana Menteri berucap ketika merasmikan Sambutan Hari TVET 2.0 di Dataran Putrajaya, di sini pada Sabtu.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET (MTVET) Negara.
Menurut Perdana Menteri lagj, kerjasama erat antara kerajaan dan industri penting bagi memastikan program latihan yang ditawarkan benar-benar memenuhi keperluan sektor pekerjaan, selain memberi lebih banyak peluang pendedahan kepada pelatih.
Mengangkat tema “TVET Pilihan Utama Kerjaya”, sambutan selama tiga hari hingga Ahad bermula 9 pagi hingga 10 malam menghimpunkan lebih 107 agensi, institusi dan pemain industri daripada sembilan sektor utama.
Kredit sumber: Astro AWANI
