RIYADH: Suruhanjaya Warisan Arab Saudi menemui lebih 1,700 artifak arkeologi di tapak bersejarah Miqat Al-Juhfah, menurut laporan Agensi Akhbar Saudi (SPA).
Dengan kerjasama University of Exeter, suruhanjaya itu telah menyiapkan fasa pertama kerja tinjauan dan pendokumentasian di tapak berkenaan.
Pelbagai artifak seperti tembikar, kaca, batu, cengkerang dan bahan lain ditemui, sekali gus menonjolkan kepentingan sejarah lokasi yang terletak di sepanjang laluan jemaah haji dari Mesir.
Antara penemuan termasuk serpihan barangan yang digunakan dalam kehidupan harian seperti cengkerang, manik dan objek logam.
Enam relau pembuatan tembikar turut ditemui, selain sebuah terusan air yang dipercayai digunakan oleh kumpulan jemaah dan pengembara yang melalui kawasan itu.
Ahli arkeologi juga menemukan 13 batu nisan, sebahagiannya bertarikh dari zaman Bani Umayyah dan Bani Abbasiyah.
Kajian terhadap artifak yang ditemui menunjukkan ia berasal dari pelbagai wilayah termasuk Levant, Mesir dan Habsyah (Abyssinia), sekali gus mencadangkan bahawa jemaah dari pelbagai pelosok dunia pernah melalui kawasan tersebut.
Terletak kira-kira 182 kilometer di barat laut Makkah, Miqat Al-Juhfah merupakan salah satu stesen masuk utama bagi jemaah sejak awal zaman Islam.
Tapak ini juga merupakan titik persinggahan penting di laluan penghijrahan Nabi Muhammad SAW dari Makkah ke Madinah.
Sumber sejarah menunjukkan kawasan itu berkembang pesat dengan kedai-kedai dan kemudahan bekalan air untuk melayani keperluan jemaah sekitar tahun 719 hingga 816 Masihi.
Kerja tinjauan dan ekskavasi di Miqat Al-Juhfah adalah sebahagian daripada usaha Suruhanjaya Warisan Arab Saudi untuk mengenal pasti serta mendokumentasikan tapak arkeologi dan warisan sejarah di sepanjang laluan Hijrah antara Makkah dan Madinah.
Inisiatif ini juga bertujuan mempercepatkan penyelidikan saintifik dalam bidang penerokaan dan penemuan sejarah, memberikan pemahaman baharu mengenai kekayaan warisan budaya Arab Saudi, serta merungkai kronologi sejarah dan kebudayaan sesuatu tapak melalui penggunaan teknologi dan kaedah analisis terkini dalam kerja tinjauan, dokumentasi dan pengenalpastian artifak.
Kredit sumber: ArabNews/Berita Harian
