KOTA KINABALU, 9 Jun 2026 – Seorang Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Parti Warisan bersama beberapa pemimpin wanita parti itu mengambil keputusan meninggalkan Warisan untuk menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).
Mereka yang terlibat ialah Mohd Taib Isai selaku AMT Warisan serta tiga Exco Wanita Warisan, iaitu Datin Roziah yang juga Ketua Wanita Warisan Kudat, Maini Tapah (Ketua Wanita Warisan Kota Marudu) dan Masilah Lidah, Ketua Wanita Warisan Sandakan.
Keputusan meninggalkan Warisan itu dimaklumkan sendiri oleh Mohd Taib Isai menerusi satu kenyataan media hari ini.
Menurut beliau, keputusan tersebut dibuat selepas menilai perkembangan politik semasa serta kegagalan kepimpinan parti dalam menyatukan kekuatan politik Sabah demi kepentingan rakyat dan negeri.
Katanya, ramai pemimpin akar umbi semakin kecewa kerana pandangan mereka tidak lagi diberikan perhatian, selain berpandangan bahawa parti itu semakin jauh daripada aspirasi rakyat Sabah.
“Keputusan ini bukan dibuat secara tergesa-gesa, sebaliknya setelah menilai perkembangan politik semasa dan hala tuju perjuangan yang lebih sesuai untuk masa depan Sabah.
“Kami melihat keperluan kepada sebuah wadah politik yang mampu menjamin kestabilan, perpaduan serta pembangunan berterusan untuk negeri ini,” katanya.
Mohd Taib berkata, beliau bersama kumpulannya yakin kepimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berjaya mewujudkan kestabilan politik serta menyatukan pelbagai pemimpin dan parti tempatan di bawah agenda pembangunan yang jelas.
Menurutnya, pendekatan inklusif dan sederhana yang dibawa Hajiji turut memberikan keyakinan bahawa masa depan Sabah lebih terjamin di bawah kepimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Beliau turut menjangkakan gelombang sokongan terhadap Gagasan Rakyat dan GRS akan terus meningkat, dengan lebih ramai pimpinan serta ahli Warisan dijangka mengambil langkah sama dalam masa terdekat.
Turut meninggalkan Warisan ialah mantan Ketua Bahagian Warisan Kota Belud, Datuk Hanjan Samit; mantan Naib Ketua Bahagian Warisan Kota Belud, Andrew Lintangah; Penyelaras DUN Tanjung Kapor, Datuk Arif Abdullah; dan mantan Timbalan Ketua Penaja Bahagian Warisan Kudat, Abu Bakar Angkang.
Selain itu, beberapa ahli jawatankuasa bahagian, ketua pusat daerah mengundi (PDM) serta pemimpin akar umbi dari Kota Belud, Kudat, Kota Marudu dan Sandakan turut menyatakan sokongan kepada Gagasan Rakyat. – DAKWAT RAKYAT POST
